Perjuangan tidak pernah selesai
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
30 Disember 2024, 6:35 am
Tahun 2024 akan melabuhkan tirai dalam dua hari lagi dan tahun baru akan menjelang. Bagaimana harus dirangkumkan tahun ini? Ia seperti perlawanan bola sepak yang ada dua separuh masa atau golf yang ada sembilan lubang pertama dan dan kedua. Tidak semestinya kedua-dua separuh masa menjanjikan kegembiraan.
Tahun ini menghidangkan pelbagai cabaran, detik duka, kegelapan atau kemarahan. Malah ada masa ia sejuk dan gelap di Malaysia yang tiada salji seperti di Eropah sekarang ini. Tetapi ada masa tertentu tahun ini memberikan kenangan manis, senyuman dan kegembiraan.
Penulis sendiri telah mencatatkan 47 Minda Pengarang dan ini yang terakhir tahun ini. Sebagai satu wadah, Utusan Malaysia dan akhbar kembarnya Kosmo! serta The Malaysian Reserve telah menghasilkan ribuan artikel dan berita secara keseluruhan.
Ribuan berita dibincangkan, diteliti dan diluluskan untuk penerbitan di semua platform – cetak, digital, media sosial dan video.
Sebahagian kandungan yang disiarkan diterima dengan baik oleh pembaca yang menghargai maklumat dan menghormati pandangan berbeza. Tidak kurang juga laporan yang menimbulkan kemarahan atau kegusaran pihak tertentu.
Sebagai Pengarang Kumpulan Media Mulia, penulis akan kekal menghormati pandangan berbeza sebagai landasan editorial semua akhbar. Kami terima pandangan kedua-dua pihak kerana akhbar bukan “newsletter”.
Utusan Malaysia melaporkan mengenai masalah kartel yang menghantui petani termasuk pemberian baja, benih dan pelbagai subsidi. Kartel yang berterusan mendominasi penetapan harga ayam dan telur. Cabaran bidang perubatan, gaji, penyerapan sebagai kakitangan tetap sehingga bilik bedah yang tidak berfungsi.
Kehidupan pelajar universiti di bandar yang terpaksa hidup bersesak kerana kos tinggi. Pekebun kecil yang bergelut dengan harga getah dan padi rendah.
Dasar kerajaan mendapat tempat kerana memberi kesan kepada semua rakyat. Begitu juga semua pemimpin. Malah tiada pemimpin parti politik termasuk daripada pembangkang yang gagal menghiasi ruang akhbar ini. Tetapi kebodohan tidak harus mendapat tempat, kekal tidak disiarkan kerana kredibiliti adalah segalanya.
Seorang pembaca Utusan Malaysia bernama Chik Su menulis mengenai bagaimana arwah suaminya Haji Aman bin Abdullah yang menuntut di Singapura serta mempunyai ramai rakan dan sering ke pejabat Utusan.
“Banyak peristiwa yang berlaku diceritakan kepada makcik termasuk Peristiwa Natrah dan mogok. Beberapa tahun yang lalu bila Utusan ditutup suami makcik sangat sedih dan berdoa agar ada orang kaya Melayu mengambilnya. Lepas tu dia amat gembira dan bersyukur doa hambanya yang kerdil ini dikabulkan oleh Allah SWT,” kata Chik Su.
Bagi pihak Media Mulia, saya merakamkan penghargaan kepada Chik Su dan ribuan lagi yang memberikan sokongan termasuk doa walaupun yang berada jauh atas kesejahteraan akhbar ini. Kami mendoakan kesejahteraan Chik Su dan keluarga.
Dalam hidup, kita bangun, kita mandi, kita makan lebih daripada sekali dan kita terus berjuang dan kita tidak lupakan mereka yang penting dalam kehidupan. Sama seperti akhbar ini, kami akan pastikan ia menyambut ulang tahun ke-100 dalam 15 tahun lagi.
Bagi pihak Media Mulia, kami mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca, pelanggan dan pengiklan yang sedia berpisah dengan hasil titik peluh untuk melanggan kepada akhbar ini sama ada versi cetak dan digital serta membaca kandungan yang disiarkan.
Selamat Tahun Baharu 2025.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan dan Pengarah Urusan Media Mulia Sdn Bhd. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan