
Perketat undang-undang penipuan dalam talian, bank bayar balik jika cuai – PM
Anwar Ibrahim dalam sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam. - Gambar JABATAN PENERANGAN
Oleh ARIF AIMAN ASROL dan NURUL IRDINA SUMALI
4 Disember 2024, 7:01 am
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju pihak bank yang cuai perlu bertanggungjawab terhadap kehilangan duit daripada akaun pengguna akibat penipuan dalam talian atau scam.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, satu kajian akan dilaksanakan kajian bagi membolehkan langkah itu dikuatkuasakan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican.
“Kajian tersebut bagi memperketatkan undang-undang agar pihak bank turut bertanggungjawab sekiranya didapati mereka tidak cermat dalam memantau dan memastikan peraturan dipatuhi.
“Kalau cuai, bank akan bayar, umpamanya setakat ini mengikut Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah, (sebanyak) RM178,407 telahpun dipulangkan, maknanya ada (duit yang dipulangkan).
“Tetapi seperti mana dikaitkan dengan undang-undang di United Kingdom (UK), itu hanya jika dikenalpasti kecuaian pihak bank atau bank tidak memantau mengikut peraturannya,” katanya.
Maka bank mesti bayar ganti rugi dan beliau setuju bahawa prinsip itu juga diguna pakai di sini.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam pada itu, Anwar mengakui masalah scam adalah hal yang sangat rumit dan dihadapi oleh semua negara.
Beliau memberitahu, sebanyak RM19 juta wang jenayah penipuan dalam talian atau scam berjaya disekat oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) dan menyita sebanyak RM6 juta, setakat ini.
Kata beliau, pusat tersebut menerima 140,474 kes termasuk 69,000 membabitkan kes penipuan.
“Bayangkan, kalau tidak disekat oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) dengan kerjasama Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi kewangan bank dan syarikat telekomunikasi, RM19 juta akan terlepas, tetapi berjaya disekat.
“Jadi, ini langkah diambil. Saya akui sebab itu undang-undang dipinda bulan Oktober, dikaji lagi oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia) dan yang dikaitkan dengan Akta Pemberi Pinjam Wang KPKT (Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan) sedang diselaraskan oleh jawatankuasa yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan melalui pihak penguatkuasa melaksanakan pelbagai usaha untuk menyekat dan menjejaki wang yang terlibat dengan jenayah scam.
“Umpamanya, satu kes yang dilaporkan oleh polis, satu akaun keldai oleh penagih dadah yang tidak tahu digunakan mencecah lebih RM1 bilion. Maknanya, jumlah yang ditipu itu ramai,” katanya.
Malaysia merekodkan nilai kerugian lebih RM1.224 bilion akibat jenayah dalam talian Januari hingga Oktober lalu, melibatkan penipuan dalam talian atau scam, jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman serta pelaburan yang tidak wujud.
Antara langkah pencegahan diambil kerajaan di bawah Pencegahan Jenayah dan Kesedaran Awam serta penubuhan laman web Semak Mule.
“Hingga 31 Oktober, 181,628 nombor telefon, 222,092 nombor akaun bank dan 1,395 nama syarikat direkodkan di dalam Semak Mule melibatkan penipuan jenayah dalam talian.
“Portal ini membantu kerana dengan laporan, 32,066,000 carian dibuat dan 22,200,984 memberi jawapan positif, maknanya ada usaha memindahkan wang mereka kepada akaun mule tapi banyak terselamat kerana digerakkan, kerana kita gunakan portal itu,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, undang-undang baharu melibatkan Seksyen 116D Kanun Prosedur Jenayah yang memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk merampas dan menyekat transaksi kewangan mencurigakan akan turut membantu.
Antara langkah diambil membabitkan Kementerian Komunikasi adalah melakukan sekatan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan mencurigakan.
“Lebih 1.4 bilion panggilan meragukan dan 1.2 bilion SMS yang tidak diminta (kita sekat). Kemudian kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menamatkan 118,184 talian serta menyekat akses kepada 9,474 laman palsu yang dikesan.
“Ini kita rumuskan tentang masalah dan tindakan diambil, maka pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan dilakukan, selain menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA), serta tindakan berterusan oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC),” jelasnya. -UTUSANhttp://utusan.com.my
Ulasan
Catat Ulasan