Prospek luas untuk pasaran Malaysia pada 2025

Prospek luas untuk pasaran Malaysia pada 2025
GAMBAR HIASAN
Oleh NUR NAZLINA NADZARI
30 Disember 2024, 9:30 am

PETALING JAYA: Philip Capital Research kekal optimis dengan pasaran Malaysia pada 2025, didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang mampan, ringgit yang lebih kukuh, mudah tunai domestik yang teguh dan aliran ekonomi yang positif.

Firma penyelidikan berkata, ia juga akan dipacu oleh pertumbuhan pendapatan korporat dan realisasi komitmen pelaburan syarikat multinasional (MNC).

Kataya, ekonomi Malaysia telah mengalami pertumbuhan paling kukuh sejak 2018 dan momentum ini dijangka berterusan, didorong oleh aliran masuk FDI yang besar, yang turut menjana limpahan positif pelaburan langsung domestik (DDI).

Jelasnya, Malaysia telah mencapai tahap rekod pelaburan yang diluluskan pada 2023, dengan aktiviti pelaburan yang kukuh diunjurkan akan berterusan sehingga 2024.

“Pelaburan swasta dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada tahun-tahun akan datang dengan realisasi selanjutnya pelaburan yang diluluskan.

“Kami menjangkakan pertumbuhan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus pada 2025, berikutan anggaran 5.3 peratus pada 2024, menandakan kali pertama sejak 2014 ekonomi telah berkembang lebih 5.0 peratus untuk dua tahun berturut-turut.


“Prestasi ekonomi yang membanggakan ini berkemungkinan menyokong pasaran ekuiti negara,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma penyelidikan menyasarkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akhir tahun 2025 pada 1,750 mata.

Menurutnya, risiko kepada FBM KLCI termasuk potensi aliran masuk asing yang perlahan disebabkan oleh tarif dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh di bawah penggal kedua Presiden AS, Donald Trump.

“Saham bermodal kecil sederhana menawarkan ganjaran risiko yang lebih baik, disokong oleh pemacu pertumbuhan tematik yang kukuh

“Sektor ‘overweight’ termasuk perbankan (baharu), pembinaan, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), permainan, penjagaan kesihatan, perindustrian (diwakili oleh jenama pusat data), minyak dan gas (O&G), boleh diperbaharui, sarung tangan getah, teknologi, telco dan pengangkutan (baharu),” ujarnya.

Sementara itu, PhiIip Capital Research menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan kadar dasar monetarinya stabil pada separuh pertama 2025, dengan pelonggaran monetari disambung semula pada separuh kedua 2025.

“Pemotongan kadar yang dijangkakan telah disemak kepada 50 mata asas pada 2025, turun daripada unjuran sebelumnya bagi pemotongan 100 mata asas, seperti yang ditunjukkan dalam plot titik terkini.

“Kami mengunjurkan ringgit akan berlegar sekitar RM4.30 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025, disokong oleh pertumbuhan FDI yang kukuh dan dasar kerajaan yang menggalakkan,” tambahnya.-UTUSAN

Ulasan