Provokasi DAP: Khuatir ketegangan kaum berulang
December 31, 2024
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohammad Rosharizan Mohd Rozlan, menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan kaum yang boleh tercetus akibat kenyataan sensitif berkaitan Islam oleh sesetengah pemimpin DAP.
Beliau menegaskan, tindakan itu dianggap mencabar sensitiviti umat Islam dan berpotensi mencetuskan reaksi luar jangka masyarakat Melayu.
Menurut Mohammad Rosharizan, penyebaran dakyah Kristian secara halus atau terbuka, termasuk penganjuran sambutan Krismas melibatkan umat Islam serta seruan pluralisme agama, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“(Ia juga) dianggap mencabar sensitiviti akidah umat Islam. Isu akidah ini merupakan batasan yang perlu dipelihara, selaras dengan Perlembagaan yang melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan supaya mengambil pengajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969, yang menjadi sejarah hitam akibat ketegangan kaum.
“Apabila sempadan ini dilanggar, ada kebimbangan ia akan mencetuskan tindak balas, termasuk penghinaan terhadap agama lain, atau lebih buruk, tindakan melampau yang menggugat keharmonian negara,” tambahnya.
Sebagai langkah lanjut, beliau menyeru umat Islam menyertai himpunan mega di Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat, 3 Januari 2025 ini.
Himpunan itu jelasnya, bertujuan mendesak tindakan tegas terhadap pemimpin DAP dan menteri terlibat, selain menuntut peletakan jawatan mereka atas pencabulan sensitiviti umat Islam. – HARAKAHDAILY 31/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan