RUNDINGAN ISU AIR : KERAJAAN MALAYSIA MENGALAH DENGAN SINGAPURA
1. Agak malang sekali apabila kerajaan Malaysia sekali lagi gagal dalam usaha untuk berunding dengan Singapura berkaitan dengan harga air yang dijual ke negara jiran tersebut walaupun pelbagai usaha telah dibuat, malah rundingan demi rundingan telah dilakukan.
2. Apabila membaca jawapan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Parlimen baru-baru ini bahawa kerajaan memutuskan untuk kekal dengan perjanjian sedia ada yang termaktub dalam Perjanjian Air 1962 dengan memberikan hujah bahawa sebarang perubahan terhadap kadar jualan air mentah kepada Singapura, perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat dari negara itu, yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri Johor, ia adalah merupakan satu keputusan yang tidak menyebelahi kita.
3. YB Akmal juga menegaskan bahawa walaupun harga yang ditetapkan untuk penjualan air mentah kepada Singapura adalah rendah, iaitu pada kadar tiga sen setiap 1,000 gelen, namun dari segi impak ekonomi ia sebenarnya memberi timbal balik kepada negara.
4. Walaupun jawapan Ahli Parlimen Johor Bahru ini nampak seperti seimbang tetapi sebenarnya ia lebih kepada untuk memperlihatkan tindakan kerajaan yang berada pada keadaan "win win situation" dalam menangani kemelut ini.
5. Mengimbau kembali kehendak kerajaan Malaysia untuk membawa kerajaan Singapura duduk semeja membincangkan tarif harga jualan kos air mentah sebanyak hanya tiga sen segelen yang sudah lagi tidak lagi relevan pada masa ini, telah dilakukan berkali-kali dan berulang kali.
6. Saya masih ingat lagi, semasa berforum bersama Professor Dr Salawati Mat Basir di Wacana Sinar pada tahun 2020, beliau ada menyebut bahawa harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dijual Malaysia kepada Singapura sudah tidak relevan dalam konteks ekonomi ketika ini dan adalah sangat wajar supaya perjanjian itu dilihat semula dan rundingan mengenainya perlu diteruskan.
7. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan telah berkali-kali berusaha untuk berunding dengan Singapura sejak tahun 1998, 2001, 2002, 2003, 2018 dan 2019. Namun sebaliknya, Singapura sering menekankan bahawa Malaysia sudah terlepas peluang untuk melakukan rundingan kerana tidak melakukannya pada 1987 selepas tamat tempoh 25 tahun perjanjian air itu sebagaimana termaktub dalam klausa 14 perjanjian air 1962.
8. Begitu juga dengan pandangan Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, Pensyarah Undang-Undang, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang melahirkan pendapat yang sama bahawa Malaysia mempunyai hak dan boleh menuntut semakan perjanjian air kontroversi Malaysia-Singapura 1962 selepas 25 tahun perjanjian itu ditandatangani berdasarkan Perjanjian 1962, Malaysia berhak menuntut semakan semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura berdasarkan Klausa 14 dalam Perjanjian 1962.
9. Pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang juga pernah mengusulkan supaya perjanjian yang tidak munasabah dan lapuk ini dirunding semula. Beliau menyatakan bahawa perjanjian yang dibuat itu dalam tempoh, zaman yang telah lama berlalu. Jadi secara logiknya, ia perlu dirunding semula.
10. Usaha kerajaan Singapura untuk meremeh-remehkan usaha kerajaan Malaysia untuk meneruskan perbincangan sangat jelas sehingga Putrajaya terpaksa menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh kerajaan di seberang tambak Johor dengan satu kenyataan media yang disiarkan pada 12 Mac 2019 dengan tajuk "Isu Perjanjian Air Sungai Johor 1962 Dengan Singapura"
11. Pada bulan Julai yang lalu, kelihatan ada sinar harapan apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menjelaskan bahawa Kerajaan sedang melihat semula perjanjian segala perjanjian ini namun harapan tinggal harapan apabila YB Akmal membuat penjelasan bahawa kerajaan berhasrat untuk kekal dengan perjanjian sedia ada.
12. Perlu kita ingat bahawa perjanjian ini, jika tidak dirungkai maka ianya akan berlarutan sehingga ke tahun 2062, bermakna masih ada lagi 38 tahun untuk menamatkan penjanjian yang merugikan negara dan rakyat Malaysia!
13. Ketika ini, bukan masanya untuk menudingkan jari kepada mereka yang terdahulu tetapi inilah masanya ketegasan kerajaan ditagih untuk membawa Singapura duduk semeja demi menyelesaikan kemelut yang belum selesai dengan erti yang sebenarnya.
Sekian.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Pengerusi Kongres Rakyat Negeri Johor
6 Disember 2024, 12.10 malam
Ulasan
Catat Ulasan