Sarawak harus berlapang dada, berdamai tamat polemik PETRONAS


Sarawak harus berlapang dada, berdamai tamat polemik PETRONAS
Oleh Ismail Hashim Yahaya - Disember 25, 2024 @ 8:56am
KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa PETRONAS bukan syarikat Semenanjung sebaliknya milik negara seperti digariskan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, diharap dapat memuktamadkan pertikaian antara Sarawak dan syarikat itu berhubung isu tuntutan kawalan sumber gas dan minyak.

Akta berkenaan menjelaskan PETRONAS masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara mempunyai kuasa penuh mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini selaras dengan Perlembagaan.

Dengan penegasan terbaru Perdana Menteri, diharap tidak lagi timbul isu mengenai PETRONAS sebagai entiti asing seperti digambarkan pemimpin Sarawak. Sebelum ini, Perdana Menteri menjelaskan isu itu sudah selesai dan kedua-dua pihak masih perlu memuktamadkan beberapa perkara, termasuk berkaitan implikasi perundangan.

Namun, masih ada suara sumbang tidak berpuas hati dengan kenyataan Perdana Menteri, malah ada yang meminta supaya digabungkan atau dilaksanakan bersama akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 58) bagi memastikan kelancaran industri minyak dan gas di negara ini.

Ada pula pemimpin kesal dan beranggapan rakan di luar Sarawak sebagai buta sejarah dan tidak mahu memahami perjuangan mereka. Adakah pemimpin membuat kenyataan seperti ini masih tidak memahami kenyataan dibuat Anwar, siapa yang buta dan jahil sebenarnya?

Perdana Menteri menjelaskan penting bagi PETRONAS untuk diiktiraf sebagai badan kebangsaan, termasuk untuk menghormati semua obligasi kontrak tanpa kompromi.

"Tidak kira apa pun tuntutannya. Jika anda terima itu, maka negara atau negeri kini yang mahu memastikan mereka menegaskan kedudukan mereka untuk melindungi kepentingan, terutama Sabah dan Sarawak kerana kami juga terikat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963)," kata Anwar pada sidang akhbar baru-baru ini.

Guna pendekatan menang-menang

Dalam hal ini, tidak ada salahnya bagi Sarawak dan Sabah menubuhkan syarikat minyak sendiri, tetapi pendekatan diambil harus mengelakkan pertikaian atau konflik dengan Kerajaan Persekutuan.

Dalam hubungan ini, mungkin lebih baik Sarawak belajar daripada Sabah yang cenderung kepada kerjasama dan autonomi inklusif melalui pendekatan menang-menang.

Penasihat kerajaan negeri kepada syarikat petroleum Sabah, SMJ Energy Sdn Bhd, Datuk Seri Panglima Lim Haw Kuang dalam laporan The Edge, baru-baru ini, berkata: "Kami mengetahui batasan kami, marilah kita merendah diri dan tidak terlalu bercita-cita tinggi. Penerokaan luar pantai adalah mahal dan berisiko, boleh mencecah ratusan jutaan ringgit. Kami mengelakkan penerokaan dengan berunding free carry or back-in rights (kepentingan ekuiti selepas kejayaan penerokaan) tanpa membayar kos penerokaan.

Ringkasnya, SMJE tidak mencuba menjadi 'mini' Petronas Carigali dan akan meninggalkan kerja penerokaan kepada PETRONAS. Apa yang dilakukan SMJE tidak mencetus kontroversi, berbanding Petroleum Sarawak (PETROS) yang ditanggapi menuntut autonomi minyak dan gas secara agresif.

Pendekatan autonomi inklusif diambil Sabah, memperlihatkan pengukuhan sistem federalisme dilakukan secara mutual dengan penerimaan ke atas keunikan, kebebasan, hak dan perbezaan. Autonomi inklusif ini suatu simbiosis mutual dalam satu ekosistem federalisme yang berganding bahu serta kefahaman bersama lebih mendamaikan.

Autonomi inklusif adalah pendekatan Kerajaan MADANI yang meraikan keterangkuman dan kemampanan tanpa mengira saiz serta keupayaan ekonomi, sebaliknya berkongsi manfaat pertumbuhan dan pembangunan secara saksama. Bahkan ia adalah tema keterangkuman dan kemampanan Malay- sia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Ia selari dengan gagasan Malaysia MADANI diperjuangkan Anwar bagi memastikan terbentuknya masyarakat Malaysia maju, inklusif dan bertamadun tanpa meninggalkan nilai-nilai moral dan agama yang murni.

Dalam hubungan ini, Anwar berkata PETRONAS dan PETROS boleh saling menyokong untuk berkembang dalam industri minyak dan gas. Perkara ini harus difahami pemimpin Sarawak dan menjauhkan mereka daripada pendekatan 'keras' bersifat autonomi eksklusif yang akhirnya membawa kepada sentimen anti-Persekutuan.

Ketika autonomi inklusif dipinggirkan, maka dikhuatiri yang terbentuk nanti ialah autonomi melampau. Ia menyebabkan satu pihak memancarkan sudut pandangan sempit dengan semuanya untuk Sarawak, demi Sarawak dan untuk rakyat Sarawak menerusi penekanan proses geopolitik minyak eksklusif dan defederalisme hingga meninggalkan prinsip saling bergantungan.

Autonomi eksklusif juga mengembangkan pendirian keakuan dan kekitaan sehingga akhirnya dibimbangi akan mentakrifkan orang luar Sarawak sebagai entiti luar, bukan rakyat Sarawak atau orang asing dan pendatang walaupun warga negara Malaysia.

Dalam hal ini, pemimpin Sarawak harus menghentikan berleluasanya sentimen ini. Anwar sudah pun mengadakan perbincangan harmoni dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan mencapai keputusan jelas.

Kini pemimpin Sarawak harus mengorak langkah memberi kefahaman dan penjelasan kepada rakyat Sarawak maksud PETRONAS milik negara serta menghentikan nada serta sentimen negatif. Ini kerana PETRONAS adalah milik rakyat dan negara bernama Malaysia.

Penulis adalah Pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa


Ulasan