![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2024/11/TRG_BANJIR-TERENGGANU-re.jpg)
Semakin kritikal, mangsa meningkat 144,195 orang
MANGSA banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Nibong, Hulu Terengganu, semalam. – mingguan/PUQTRA HAIRRY
Oleh NUR AIMI HAZIRAH dan YATIMIN ABDULLAH
1 Disember 2024, 7:30 am
PETALING JAYA: Keadaan banjir di seluruh negara semakin kritikal dengan peningkatan hampir 50 peratus mangsa dipindahkan ke 692 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu seramai 144,195 berbanding semalam.
Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal negeri paling ramai terjejas dengan jumlah mangsa hampir 100,000 melibatkan 28,751 keluarga.
Dengan 10 daerah terlibat, kesemua mangsa ditempatkan di 286 PPS di seluruh negeri itu dengan Pasir Mas sebagai daerah paling terjejas yang merekodkan 27,732 mangsa.
Terengganu mencatatkan mangsa seramai 40,846 melibatkan 11,340 keluarga dari lapan daerah yang kini ditempatkan di 319 PPS.
Kedah pula mencatatkan jumlah mangsa sebanyak 7,168 orang melibatkan 2,225 keluarga yang berlindung di 53 PPS di 7 daerah.
Dalam pada itu, seramai 1,985 mangsa terjejas di Negeri Sembilan daripada 569 keluarga dengan dengan pembukaan 13 PPS dibuka di 3 daerah.
Antara daerah terlibat adalah, Tampin, Kuala Pilah dan Jempol manakala Johor merekodkan seramai 499 mangsa daripada 149 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS di daerah Tangkak dan Segamat.
Di Johor, dua daerah dilanda banjir sejak semalam memaksa seramai 425 mangsa daripada 127 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Tangkak dan Segamat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, sehingga pukul 12 tengah hari semalam, sebanyak sembilan PPS dibuka di dua daerah terbabit.
Manakala di Selangor pula, rekod menunjukkan seramai 229 mangsa melibatkan 57 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di daerah Klang.
Di Perlis, seramai 104 keluarga dengan jumlah 335 mangsa terjejas melibatkan dua daerah.
Antara daerah terlibat adalah Arau yang meletakkan 197 mangsa dan Kangar dengan 138 mangsa. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan