‘Siapa kamu hendak sesatkan dan minta PAS bertaubat?’


‘Siapa kamu hendak sesatkan dan minta PAS bertaubat?’
December 30, 2024

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Ustaz Datuk Idris Ahmad memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming supaya tidak melibatkan diri dalam urusan agama Islam dan melanggar ‘garis merah’ yang sensitif bagi umat Islam.

Beliau mengingatkan bahawa sebarang tindakan yang mencampuri hal agama boleh mencetuskan ketegangan dan menegaskan bahawa isu berkaitan agama Islam adalah hak eksklusif umat Islam.

Menurutnya, majoriti orang Melayu di Malaysia beragama Islam dan mereka sangat sensitif terhadap sebarang penghinaan terhadap agama mereka.

“Jahat macam mana pun jika orang hina agama, mereka bingkas bangun,” katanya, mengulas kenyataan Nga yang menuduh PAS sebagai ajaran sesat dan menggesa parti itu untuk bertaubat.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu menegaskan bahawa soal akidah dan taubat adalah urusan umat Islam dan hanya badan agama yang berhak menentukan sesuatu ajaran itu sesat atau tidak.

Bekas Menteri Agama itu turut menegaskan bahawa hanya umat Islam yang berhak berbincang mengenai soal sesat atau taubat, dan beliau mengingatkan bahawa campur tangan pihak bukan Islam dalam urusan itu akan menimbulkan kekeruhan.

“Biarlah kami sesama orang Islam sahaja yang boleh berbincang bab sesat atau taubat. Kami lebih tahu bab agama kami dan batasan agama sesama kami,” jelasnya dalam media sosial miliknya.

‘Garis merah’ agama Islam

Menyentuh isu ‘garis merah’ yang dimaksudkan, Idris mengingatkan Nga bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan, sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Inilah juga kontrak sosial yang sudah diterima oleh tok nenek Nga Kor Ming untuk membolehkan mereka diberi kerakyatan dan negara mencapai kemerdekaan,” jelasnya.

Beliau mengingatkan agar pihak-pihak tertentu tidak memprovokasi umat Islam, terutama dalam soal agama yang boleh mencetuskan ketegangan.

Idris mengkritik tindakan Nga yang disifatkannya sebagai provokatif, bukan sahaja mengundang perasaan marah dalam kalangan umat Islam, tetapi juga boleh mencemarkan keharmonian antara agama dan kaum.

“Jangan sampai orang Melayu pula mencaci cerca agama orang lain. Dengan menuduh kamu pula sesat,” katanya.

Ustaz Idris menegaskan bahawa perbuatan seperti itu akan merosakkan suasana harmoni di negara ini.

“Kamu tidak berhak untuk menyesatkan PAS. Siapa kamu hendak menyesatkan PAS? Siapa kamu yang minta supaya PAS bertaubat?

“Jangan provok orang Islam bab agama. Jangan bawa ke ‘garisan merah’ yang merbahaya. Jangan tafsir Islam ikut kepala otak kamu,” tegasnya.

Ketegasan Rasulullah menjaga Islam

Beliau juga memberi peringatan kepada golongan yang cuba mengaitkan Islam dengan sifat rahmah dan tidak kasar, agar mempelajari sejarah Rasulullah.

“Ada ketika Baginda lembut dan ada ketika baginda tegas dan keras apabila orang pemainkan bab agama (Islam),” ujarnya sambil mengingatkan supaya tidak mengambil sejarah Nabi secara separuh-separuh.

Beliau berkata, PAS yang berpegang dengan dasar Islam, tidak menzalimi orang bukan-Islam di negeri yang diperintah.

“Terbukti dan teruji PAS berjaya menjaga keharmonian kaum, tidak seperti DAP yang walaupun kita tahu ada geng Melayu PH yang cuba pertahankan kenyataan kamu.

“Cuba mengaitkan Islam agama rahmah, tidak boleh kasar dengan yang permainkan agama Islam. Kononnya nanti mereka liar,” bidasnya terhadap orang Melayu tertentu yang mempertahankan perbuatan seperti Nga.

Ustaz Idris turut menyatakan bahawa golongan cauvanis semakin melampau dalam tindakan mereka, dan ia menyebabkan keadaan menjadi semakin tegang.

“Manusia Melayu macam inilah menjadikan golongan cauvanis semakin melampau. Kami tidak hairan manusia jenis ini ada sepanjang zaman,” katanya, menegaskan bahawa golongan seperti itu merupakan ‘gunting dalam lipatan’ yang akan merosakkan bangsa dan agama.

Ustaz Idris menegaskan bahawa PAS tidak akan membenarkan pemikiran yang merosakkan bangsa dan agama berkembang.

“PAS tidak akan izinkan pemikiran ini merosakkan anak bangsa di negara ini,” katanya.

Menurutnya, PAS sentiasa berpegang dengan Islam dan undang-undang negara yang telah mewujudkan keharmonian dalam negara.

“Ayuh bangsa Melayu dan umat Islam kita bersatu dan jangan biarkan golongan cauvanis ini berkuasa

“Kita lemah sebab berpecah, walaupun ramai. Mereka kuat sebab mereka bersatu walaupun mereka sedikit. Masa masih belum terlambat, untuk kita bersatu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2024

Ulasan