Siasat semua pihak, bukan fokus Tun M sahaja


Siasat semua pihak, bukan fokus Tun M sahaja

10 Disember 2024 08:30am
Masa membaca: 3 minit


SHAH ALAM - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu bertindak lebih adil dan telus dengan mengesyorkan siasatan jenayah menyeluruh dijalankan terhadap semua pihak terbabit dengan pengendalian kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, bukan hanya memberi fokus terhadap dakwaan penipuan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, antara individu lain patut disiasat termasuklah Peguam Negara dan Peguam Cara Negara ketika itu kerana mereka didapati gagal memberikan nasihat tepat kepada Dr Mahathir.

Justeru, Haniff Khatri melahirkan rasa hairan kenapa semua penjawat awam yang gagal melaksanakan tugas dengan baik ketika itu tidak disyorkan untuk dikenakan sebarang tindakan atau sekurang-kurangnya disyorkan diambil tindakan tatatertib oleh RCI.

“Kenapa tiada cadangan sama dicadangkan terhadap mereka yang terbabit termasuklah bekas Peguam Negara, dan Peguam Cara Negara? Kenapa RCI berhenti di situ biarpun mereka gagal dan hanya mencuci tangan dengan kononnya menyalahkan Dr Mahathir sepenuhnya.

“Saya percaya jika RCI mahu berlaku adil maka sepatutnya mereka sudah mengemukakan cadangan supaya individu terbabit seperti Peguam Negara dan Peguam Cara Negara ketika itu juga disiasat oleh pihak berkuasa atas kesalahan sama dengan Dr Mahathir,” katanya kepada Sinar Premium.

Berikutan itu, Haniff Khatri menggesa supaya Setiausaha RCI merangkap Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman supaya segera membuat laporan polis terhadap semua bagi membolehkan siasatan menyeluruh dapat dijalankan secara telus dan adil.

Dalam pada itu, Haniff Khatri berkata, cadangan siasatan jenayah dilakukan terhadap Dr Mahathir juga cacat kerana dua daripada ahli panel RCI berpandangan mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Berikutan itu, Haniff Khatri berpandangan cadangan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir adalah kurang tepat.


Malah Haniff Khatri berkata, rakyat juga tidak boleh mengatakan bahawa Dr Mahathir sudah sah menipu Kabinet atau negara kerana apa yang disyorkan oleh RCI hanyalah cadangan semata-mata bukannya keputusan muktamad.

Terdahulu, media melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Prosiding itu diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).


Laporan berkenaan RCI Batu Puteh mengesyorkan siasatan terhadap Tun M pada Jumaat.

Perkara berkenaan antara syor RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada minggu lalu.

Laporan akhir yang dinyahklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Laporan ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya dipengerusikan Md Raus yang juga bekas Ketua Hakim Negara menyatakan dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan adalah Dr Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.

Katanya, jika Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di ICJ dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Jemaah Menteri berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kedua-dua permohonan itu.

Jelasnya, Dr Mahathir berkemungkinan telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.

Suruhanjaya itu berkata, siasatan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan boleh dibuat atas fakta yang beliau menipu kerajaan dengan pengetahuan bahawa beliau berpotensi untuk menyebabkan kerugian salah (wrongful loss) kepada kerajaan Malaysia kerana sebagai Perdana Menteri beliau mempunyai obligasi untuk melindungi kepentingan negara.

Ulasan