Sudah masuk 2025, kita masih bincang isu lif rosak
Oleh Ismail Daud
31 Disember 2024, 7:07 am
ESOK kita akan melangkah ke tahun baharu 2025. Tahun baharu menjanjikan cabaran baharu. 2025 dikatakan lebih ‘keras’ daripada 2024. Kos sara hidup dijangka meningkat walaupun dalam masa yang sama, jumlah rakyat Malaysia yang berkunjung ke selatan Thailand terus bertambah.
Perkembangan pesat teknologi pula menyaksikan kecerdasan buatan (AI) diperlihatkan akan mengambil alih banyak perkara dalam kehidupan manusia, seterusnya mengubah cara kita berfikir dan bertindak. Perkara ini dijangka semakin ketara tahun depan.
Namun, bagi penduduk Perumahan Awam Desa Rejang di Setapak, ada cabaran lain yang perlu didepani. Di penghujung tahun, kepayahan menjalani kehidupan harian akibat lif di perumahan itu yang tidak berfungsi sejak lebih dua minggu lalu merencatkan segala-galanya.
Penduduk di situ kecewa dengan kegagalan syarikat kontraktor menyiapkan projek penggantian lif mengikut jadual yang ditetapkan pada 15 November lalu sehingga memaksa mereka meminta bantuan Perdana Menteri.
Perlukah perkara-perkara seperti ini dibebankan kepada Perdana Menteri. Penduduk mungkin tidak berniat melibatkan pemimpin tertinggi itu tetapi keadaan semasa yang tidak nampak jalan penyelesaian memaksa mereka ‘memetik’ nama PM.
Selain Desa Rejang, banyak lagi perumahan awam di ibu negara mengalami masalah yang sama. Rasanya tidak ada penduduk di perumahan awam yang tidak pernah mengalami masalah lif rosak. Banyak lawatan sudah dilakukan termasuk oleh bekas Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, banyak jaminan dan janji diberikan tetapi isu masih berlarutan.
Sukar untuk dihadam bagaimana di tahun 2025, di ketika dunia sedang bercakap mengenai AI, masalah lif tidak berfungsi di perumahan awam dan projek perumahan rakyat khususnya di ibu negara masih tidak mampu diselesaikan.
Justeru, siapa yang harus menjawab? Adakah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) atau kontraktor? Kebanyakan kes berhubung kemudahan rakyat sama ada di ibu negara atau negeri-negeri lain, sebenarnya boleh diselesaikan di peringkat PBT.
PBT ada kuasa. PBT ada pegawai yang ditugaskan. Setiap PBT juga adalah ahli majlis. Ahli majlis ini sepatutnya lebih proaktif membantu menyelesaikan masalah penduduk. Jangan melobi untuk dilantik, selepas itu ‘hilang’. Kegagalan mereka memberi kesan kepada kerajaan.
Masalah-masalah lain yang melingkari isu ini termasuk vandalisme, kegagalan kontraktor menyempurnakan tugas, keingkaran penduduk membayar yuran penyelenggaraan dan Badan Pengurusan Bersama atau persatuan penduduk yang lesu perlu diselesaikan secara tuntas.
Pengurusan lif yang cekap amat penting kepada kesejahteraan penduduk. Ia membabitkan isu keselamatan kerana melibatkan nyawa manusia, selain isu mental dan emosi penduduk.
Lihatlah isu ini sebagai perlu segera diselesaikan seolah-olah PBT mendapat arahan terus daripada Perdana Menteri. Lakukan apa sahaja demi kebaikan semua. Semoga di tahun 2025, isu lif tidak berfungsi sehingga menyusahkan penduduk tidak lagi kedengaran.
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan