11 laporan polis di Rompin susulan kebiadapan Kor Ming
January 1, 2025
ROMPIN: Ketua Penerangan PAS Kawasan Rompin, Syed Razman Syed Mohamed, berkata tindakan Nga Kor Ming jelas melampaui batas dan mengundang kemarahan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran sambutan Krismas di pejabat menteri yang melibatkan umat Islam adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum serta agama.
“Tindakan Nga Kor Ming itu jelas biadap dan melampaui batas dan boleh menimbulkan keadaan tidak senang.
“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap perkara ini, dan kami ingin tahu sama ada tindakan ini termasuk dalam isu 3R (agama, raja, dan kaum),” katanya.
Beliau menambah tindakan Kor Ming perlu diambil perhatian serius oleh pihak berkuasa bagi memastikan ia tidak menjejaskan keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.
“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya atas kebiadapan menteri DAP itu,” tegasnya.
Sebanyak 11 laporan polis telah dibuat oleh ahli PAS kawasan di Balai Polis Bandar Tun Razak Keratong 4, di sini, semalam susulan tindakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu yang didakwa menganjurkan sambutan Krismas di pejabat kerajaan yang melibatkan orang Islam. (Foto atas)
Menurutnya, laporan polis yang dibuat itu adalah sebagai langkah pertama ahli PAS dalam mendesak pihak berwajib mengambil tindakan terhadap menteri berkenaan.
“Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan umat Islam, PAS tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang dianggap mencabar sensitiviti agama dan budaya masyarakat,” ujarnya lagi.– HARAKAHDAILY 1/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan