Askar AS didakwa jual rekod telefon sulit libat Harris, Trump



Askar AS didakwa jual rekod telefon sulit libat Harris, Trump
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
1 Januari 2025, 11:28 am

DETROIT: Seorang askar Amerika Syarikat (AS) didakwa di mahkamah kerana menjual dan cuba menjual rekod telefon sulit yang dicuri, menurut pihak berkuasa persekutuan kelmarin.

Cameron John Wagenius, 20, ditangkap pada 20 Disember lalu dan menghadapi dua pertuduhan pemindahan maklumat rekod telefon sulit secara tidak sah di Mahkamah Daerah Barat Texas di Waco.

Bagaimanapun, butiran pangkat atau lokasi penempatannya tidak dinyatakan.

Jurucakap III Armored Corps, Kolonel Kamil Sztalkoper mengesahkan penahanan seorang anggota tentera dari Fort Cavazos, Texas, yang dahulunya dikenali sebagai Fort Hood.

“III Armored Corps akan terus bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Reuters.

Menurut dokumen mahkamah, Wagenius, yang dikenali dalam talian sebagai ‘Kiberphant0m’, dipercayai terlibat dalam pelbagai aktiviti penggodaman termasuk didakwa mengakses rekod panggilan yang dikaitkan dengan Naib Presiden, Kamala Harris dan Presiden terpilih, Donald Trump, menurut wartawan keselamatan siber Brian Krebs.

Bagaimanapun, pihak Tentera AS dan Jabatan Siasatan Jenayah Tentera tidak memberikan sebarang maklumat lanjut.

Hakim di Texas mengarahkan Wagenius dipindahkan ke Seattle, tempat pendakwa persekutuan mengendalikan kes itu.

Menurut Allison Nixon, Ketua Pegawai Penyelidikan di Unit 221B, sebuah syarikat keselamatan siber, Wagenius dikenalpasti selepas kumpulan penggodam yang dianggotainya mengeluarkan ancaman kepada pihak penyelidik keselamatan siber.

“Reaksi pantas pihak penguatkuasa undang-undang selepas maklumat itu diperoleh adalah yang terpantas pernah saya saksikan sepanjang kerjaya saya,” katanya.

Setakat ini, Jabatan Kehakiman dan FBI belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung kes ini.

Ulasan