BBC Kelantan fokus baik pulih rumah mangsa banjir
January 9, 2025
Anggota BBC meninjau kediaman mangsa banjir yang rosak teruk
TUMPAT: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan akan menyelesaikan segera proses membaik pulih tiga rumah mangsa banjir di dua kampung di sini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM100,000.
Keputusan itu dicapai hasil mesyuarat khas BBC dan lebih 20 ADUN BBC turun ke lokasi kediaman yang rosak akibat banjir Disember lalu iaitu di Jubakar Pantai dan Kampung Dalam Rhu, semalam.
Pengerusi Kelab BBC, Datuk Abdul Rahman Yunus berkata, usaha baik pulih ini diambil segera setelah mengambil kira cadangan ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan supaya membaiki rumah berkenaan pada kadar segera sebelum Ramadan akan datang.
Menurutnya, anggaran kos bagi membaik pulih tiga rumah tersebut adalah sekitar RM100,000 iaitu dua rumah yang akan dibaiki adalah di Kampung Jubakar Pantai dan sebuah lagi di Kampung Dalam Rhu.
“Tiga buah rumah ini adalah antara 16 rumah yang rosak teruk akibat banjir baru-baru ini,” ujarnya ketika ditemui sewaktu meninjau rumah-rumah yang akan dibaiki.
Beliau berkata, tiga rumah terpilih ini merupakan usaha pertama pihaknya untuk membantu mangsa terlibat dan selepas ini perbincangan lanjut akan dibuat untuk membantu rumah mangsa banjir yang lain pula.
Abdul Rahman
“Dana untuk projek ini akan dikeluarkan oleh ADUN BBC sendiri, dan mereka akan mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak mengikut keperluan masing-masing.
“Sebanyak 30 ADUN di bawah BBC Kelantan terlibat dalam usaha membaik pulih ini, dengan pembahagian kepada tiga kumpulan kerja,” katanya lagi.
Menurut ADUN Pasir Tumboh itu lagi, kumpulan pertama yang akan membaik pulih rumah di Kampung Dalam Rhu diketuai oleh Penasihat BBC Datuk Abdul Fattah Mahymood bersama lapan orang di bawahnya.
Katanya, kumpulan kedua di Kampung Jubakar Pantai pula diketuai oleh beliau sendiri dan akan dibantu ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud ADUN Semerak, Norsham Sulaiman dan beberapa ADUN lagi.
Kumpulan ketiga diketuai oleh ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh, bersama beberapa ADUN lain.
“Kita akan selesaikan urusan baik pulih ini secepat mungkin dengan kerjasama semua pihak, demi memastikan mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing sebelum Ramadan,” kata Datuk Abdul Rahman lagi.
Menurutnya, usaha ini dibuat bagi membuktikan komitmen BBC Kelantan dalam membantu mangsa banjir secara dengan harapan semua kediaman yang terjejas dapat dipulihkan segera.
Turut hadir pada sesi lawatan ke lokasi rumah mangsa, Setiausaha BBC, Zuraidin Abdullah. – HARAKAHDAILY 9/1/2025Lawatan ke rumah mangsa banjir yang akan dibaik pulih
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan