
‘Bila sebut nama Sanusi depa semua pakat kenai’
January 28, 2025
KUALA KEDAH: Seramai 45 masyarakat Tiong Hua sekitar Mukim Kangkong, menerima sumbangan Tahun Baharu Cina yang disampaikan oleh ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari, semalam.
Kebanyakan mereka adalah warga emas dari kalangan golongan kurang berkemampuan dan datang sendiri ke lokasi program iaitu di Pejabat Penghulu, Mukim Kangkong, di sini dengan hanya menunggang basikal.
Mardhiyyah dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri amat prihatin kepada hal-hal berkaitan kebajikan khususnya untuk golongan kurang berkemampuan tanpa mengira batasan kaum serta fahaman politik.
“Sebenarnya orang miskin dan kurang berkemampuan ini terdapat pada semua bangsa, sama ada Melayu, Cina, India ataupun Siam.
“Tetapi kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tolong semua orang tanpa kira kaum atau agama,” kata beliau.
Lebih mengembirakan, kebanyakan penerima apabila disebut sahaja nama Menteri Besar, terus sahaja memberi reaksi yang positif seperti sangat mengenali sosok itu.
Apabila ditanya berkenaan persiapan menjelang perayaan 29 Januari ini, masing-masing menjawab sudah sedia, tetapi ala kadar sahaja memandangkan barangan keperluan agak mahal sekarang ini.
Justeru, sumbangan berupa hamper barangan makanan berserta ‘angpau’ yang disediakan oleh kerajaan negeri itu, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban penerima.
Turut hadir pada majlis itu, wakil masyarakat Tiong Hua Mukim Kangkong, Lim Kang Koi dan Penghulu Mukim Kangkong, Ahmad Sanusi Said.
Mardhiyyah juga mengalu-alukan mana-mana pihak sama ada individu atau komuniti sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur, boleh datang ke Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) beliau, sekiranya memerlukan bantuan. – HARAKAHDAILY 28/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan