EPIC lakar sejarah catat hasil tertinggi RM404 juta
January 19, 2025
Share
KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad melakar sejarah baharu apabila mencatatkan hasil tertinggi sebanyak RM404 juta pada tahun 2024.
Ahli Lembaga Pengarah EPIC, Datuk Ahmad Amzad Hashim memberitahu, keuntungan diperolehi tersebut bermakna peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
“Sebelum cukai, keuntungan kami adalah RM48 juta. Selepas cukai, keuntungan bersih mencecah RM28 juta. Kami melihat potensi untuk memanfaatkan sebahagian daripada perbelanjaan yang dibenarkan cukai.
“Termasuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), bagi membantu rakyat secara langsung. Langkah ini lebih baik daripada hanya membayar cukai tinggi,” katanya di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini hari ini.
Tambah beliau, EPIC bukan sekadar entiti berorientasikan keuntungan, sebaliknya turut berperanan dalam membantu rakyat.
“Bagi tahun 2025, sekiranya segalanya berjalan lancar, kami menjangkakan hasil lebih tinggi selaras beberapa bulan kebelakangan ini kita mula menerima kontrak-kontrak baharu.
“Antaranya yang diumumkan sebelum ini oleh EPIC, malah disebut oleh Menteri Besar Terengganu untuk kali pertamanya kita menerima kontrak penyelenggaraan pelantar cari gali bernilai RM1.5 bilion,” jelasnya.
Menurut Amzad, kontrak itu merupakan lanjutan daripada kejayaan EPIC melaksanakan kontrak penyelenggaraan pelantar cari gali ExxonMobil sebelum ini, yang bernilai hampir RM500 juta.
“Ini susulan daripada kejayaan kali pertama kita memperoleh kontrak penyelenggaraan sebelum ini yang telah kita berjaya laksanakan dengan baik,” ujarnya.
Amzad turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian EPIC yang disifatkan luar biasa, membolehkan syarikat meningkatkan aliran tunai untuk menambah baik pelaksanaan program CSR.
“Tahun ini, EPIC telah membelanjakan RM2.3 juta untuk program CSR, untuk program EPIC ‘Back To School’ sahaja dalam lingkungan RM100,000, manakala untuk di Kuala Terengganu sahaja hampir RM50,000 dibelanjakan.
“Ini meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, melibatkan seramai 300 penerima berbanding hanya 100 penerima pada tahun 2023,” ujarnya.
Beliau turut memberi komitmen untuk terus menyokong sebarang cadangan bagi menambah kadar bantuan kepada rakyat serta meningkatkan bilangan penerima pada masa hadapan.
“Saya merasa syukur sejak daripada saya bersama dengan EPIC ini, kita telah mencatat kemajuan luar biasa dan ini membolehkan EPIC mempunyai aliran tunai yang lebih baik.
“(Ini) membolehkan kita membesarkan asas penyaluran bantuan kepada rakyat melalui program program CSR yang kita laksanakan. Insya-Allah di masa akan datang kita akan menyokong sebarang cadangan untuk meningkatkan lagi kadar kadar bantuan kepada rakyat.
“Juga kadar bilangan penerima supaya lebih ramai dapat merasa daripada kemajuan yang kita capai di EPIC Berhad ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan