Gerak menentang rasuah itu adalah perjuangan rakyat


Gerak menentang rasuah itu adalah perjuangan rakyat
January 25, 2025


KUALA LUMPUR: PAS satu-satunya parti politik di Malaysia yang konsisten dan tidak pernah berkompromi dengan sebarang salah laku dan isu rasuah sehingga ke hari ini.

Pengarah Lajnah Mobilasi & Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Faizuddin Mohd Zai berkata, justeru itu Pemuda PAS menyatakan sokongan terhadap Himpunan Rakyat Benci Rasuah.

“Ianya tidak lebih sebagai satu solidariti bersama atas kapasiti rakyat yang bencikan rasuah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebagai parti yang telah lama memperjuangkan isu-isu rakyat, sebarang aksi menentang rasuah pastinya didukung kerana ia lahir daripada niat murni demi mewujudkan negara Malaysia sejahtera.

Mengulas lanjut beliau berkata, sokongan terhadap himpunan itu juga turut didorong oleh tindakan kerajaan yang dilihat menekan penganjur untuk tidak meneruskan himpunan.

“Sebagai kerajaan yang sebelum ini mendakwa merekalah yang menjunjung dan menegakkan demokrasi, sebarang usaha untuk menutup ruang suara rakyat adalah dilihat bertentangan dengan prinsip tersebut,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa, kerajaan seharusnya membenarkan himpunan itu diadakan tanpa sebarang tekanan, kerana ia adalah suara rakyat menuntut keadilan dan integriti dalam pentadbiran.

Oleh itu terangnya, kebersamaan Pemuda PAS adalah bagi memastikan suara rakyat tidak dibungkam oleh aparat koruptor demi mengekalkan kuasa.

Sebagai parti yang telah lama menganjurkan himpunan mega di tanah air, Pemuda PAS katanya, menyeru agar inisiatif itu tidak dicemari dengan agenda pihak tertentu yang bermatlamatkan peribadi.

“Lebih penting, jangan jadikan solidariti kami sebagai alasan untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah besar yang masih membelenggu kerajaan hari ini.

“Kerajaan juga harus memberi ruang untuk rakyat bersuara tanpa sebarang sekatan, kerana perjuangan memerangi rasuah adalah hak semua pihak.

“Pemuda PAS akan terus berdiri bersama rakyat dalam menegakkan keadilan dan menolak kezaliman, khususnya dalam menentang rasuah di setiap peringkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/1/2025

Ulasan