Hamas bebas tiga tebusan pertama Israel




Hamas bebas tiga tebusan pertama Israel
Oleh Wartawan Luar Negara
20 Januari 2025, 9:28 am

GAZA: Pihak berkuasa Israel mengesahkan Hamas sudah menyerahkan tiga tawanan wanita pertama sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata Gaza.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata, Romi Gonen, 24; Emily Damari, 28; dan Doron Steinbrecher, 31, diserahkan kepada Palang Merah dan dalam tangan yang selamat di Israel.

Kenderaan Palang Merah berlepas dari Bandar Gaza di bahagian utara wilayah selepas Hamas membawa tawanan tersebut ke Dataran as-Saraya ketika orang ramai berkumpul.

Delegasi Palang Merah sedang mengesahkan identiti 90 tahanan Palestin sebelum pembebasan mereka dari Penjara Ofer Israel, sebagai pertukaran daripada perjanjian gencatan senjata itu.

Perjanjian tersebut akan dilaksanakan dalam tiga fasa dan termasuk penghantaran lebih banyak trak bantuan kemanusiaan ke Gaza untuk mengurangkan bencana di wilayah tersebut.

Peringkat pertama akan berlangsung selama 42 hari sementara tentera Israel berundur dari beberapa bahagian Gaza.

Jurucakap sayap tentera Hamas, Abu Obeida dalam ucapan disiarkan di televisyen berkata, kumpulan pejuang komited terhadap perjanjian tersebut, namun pelaksanaan seterusnya bergantung kepada timbal balik Israel.

Beliau berkata, perjanjian sepatutnya dapat dicapai lebih setahun lalu tetapi dihalang oleh ‘cita-cita jahat’ Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Pemimpin Israel itu menegaskan, akan terus berjuang walaupun beberapa anggota sayap kanan dalam pemerintahannya, diketuai oleh Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, meletakkan jawatan sebagai tanda protes.

Netanyahu berkata, selepas pembebasan tawanan pertama, Israel akan mencapai matlamat perang yang ditetapkan, termasuk mengalahkan Hamas dan membebaskan semua tebusan.- AL JAZEERA

Ulasan