Harga kereta dijangka naik 10 hingga 30 peratus


Harga kereta dijangka naik 10 hingga 30 peratus

Kaji semula semakan cukai eksais harga kereta
January 23, 2025

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Kerajaan Madani untuk segera mengkaji semula pelaksanaan semakan cukai eksais bagi nilai pasaran terbuka (OMV) ke atas kereta pemasangan tempatan (CKD) yang dijadualkan bermula pada tahun 2026.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, pelaksanaan polisi tersebut dijangka menyebabkan kenaikan harga kereta antara 10 hingga 30 peratus, akan memberi kesan besar kepada pengguna serta industri automotif di Malaysia.

“PAS menggesa supaya Kerajaan Madani menimbang semula penetapan kaedah duti eksais yang baru pada 2026 melalui Warta Kerajaan – Kastam P.U (A) 402/2019, yang akan membebankan rakyat.

“(Ia juga) berpotensi memberi kesan negatif terhadap daya beli pengguna, terutamanya dalam pasaran kenderaan bagi kelompok rakyat terbanyak dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, PAS juga menggesa supaya Kerajaan Madani mengkaji semula pelaksanaan semakan cukai eksais itu yang mungkin mempengaruhi daya tahan syarikat-syarikat automotif tempatan.

Ia terutama katanya, yang terlibat dalam pemasangan kereta secara CKD, serta merencatkan pelaburan diperlukan untuk menjadikan Malaysia pusat pengeluaran automotif berdaya saing di rantau ASEAN ini.

“PAS sekali lagi ingin menggesa Kerajaan Madani supaya memberi perhatian lebih kepada kebajikan rakyat, dengan mempastikan sebarang perubahan dalam polisi fiskal tidak merugikan golongan pengguna, terutama dalam sektor yang menjadi keperluan asas seperti pengangkutan,” desaknya.

Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional itu berkata, kenaikan cukai oleh Kerajaan Madani seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai digital dan cukai terhadap barangan tertentu dan penyelarasan subsidi diesel sememangnya memberi kesan kepada rakyat.

Ia terutama jelasnya, golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana peningkatan kos sara hidup secara keseluruhan.

“Usahlah terus membohongi rakyat yang telah memberikan kepercayaan terhadap janji pilihan raya Pakatan Harapan tetapi akhirnya hanyalah menjadi ‘Janji Tinggal Janji’,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

Ulasan