Berita
Himpunan antirasuah: Hanipa ingatkan Anwar, PH tentang protes lalu
Diterbitkan: Jan 17, 2025 1:08 PM
Dikemaskini: 1:09 PM
Bekas timbalan menteri undang-undang Mohamed Hanipa Maidin menggesa kerajaan memastikan perhimpunan antirasuah yang dirancang di Kuala Lumpur pada 25 Jan nanti dibenarkan berjalan tanpa halangan.
Dia turut mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan tentang penyertaan mereka dalam protes jalanan pada masa lalu.
Mohamed Hanipa Maidin
“Semoga rakyat dibenarkan menjalankan perhimpunan tanpa gangguan oleh pihak polis.
“Kerajaan perpaduan harus memastikan hak rakyat untuk mengadakan sebarang perhimpunan aman dijamin dan dilindungi sewajarnya.
“Lagipun, perdana menteri sekarang dan ramai menterinya sekarang adalah lulusan sekolah perhimpunan aman,” kata bekas ahli parlimen Amanah itu di Facebook, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah akan menganjurkan satu perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah di ibu negara pada 25 Jan ini.
Sekretariat itu yang mewakili 50 organisasi dan 38 individu menuntut tindakan segera terhadap kes rasuah melibatkan ahli politik, siasatan yang telus, dan komitmen daripada semua pemimpin politik termasuk pembangkang untuk menamatkan gejala rasuah di negara ini.
"Adakah kerajaan buta atau tuli terhadap suara rakyat? Atau adakah pembangkang lebih bebal dengan menjadikan rasuah sebagai modal politik semata-mata?
"Kami turun ke jalanan kerana itu sahaja cara suara rakyat didengari. Baru-baru ini, perdana menteri sendiri menasihati supaya belia usah sibuk pertahankan pemimpin rasuah. Maka, kami sambut seruan tersebut," kata mereka dalam satu kenyataan.
Sekretariat itu mengecam pihak kerajaan dan pembangkang atas respon mereka terhadap isu rasuah besar.
Merujuk kepada pendedahan Malaysiakini baru-baru ini mengenai skandal di Sabah yang melibatkan beberapa Adun, mereka menyatakan kekecewaan tentang bagaimana perkara itu telah ‘disapu di bawah permaidani’.
Perhimpunan itu akan berlangsung pada jam 2.30 petang di hadapan Kompleks Membeli-belah Sogo dan peserta akan berarak ke Dataran Merdeka.
Ulasan
Catat Ulasan