Ibu dan anak ditemui mati dalam kereta
Oleh Izz Laily Hussein - Januari 24, 2025 @ 5:30pm
Lokasi kejadian ibu dan anak ditemui meninggal dunia dalam kereta di hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda, malam tadi. - NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN/FOTO
JOHOR BAHRU: Seorang wanita dan anaknya ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta mewah yang diparkir di tepi jalan berhadapan sebuah sekolah dekat Bandar Baru Uda (BBU) di sini, malam tadi.
Wanita berusia 42 tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama anaknya yang berusia 14 tahun sebelum kejadian dimaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan mengenainya kira-kira jam 10 malam tadi.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, bagi bedah siasat dan pihaknya mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
"Setakat ini, kita mendapati tiada unsur jenayah dan bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa masih menunggu siasatan makmal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini, hari ini.
Balveer Singh berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kejadian berpunca daripada kebocoran saluran petrol di enjin yang menyebabkan pemeluwapan dan memasuki saluran pendingin hawa kereta.
"Menerusi perbualan terakhir mangsa dalam kumpulan WhatsApp bersama rakannya, mangsa memaklumkan baru selesai membeli-belah di kawasan sekitar BBU dan berhenti seketika di lokasi kejadian kerana kurang sihat.
"Mangsa yang mempunyai tiga anak tinggal di Bakar Batu di sini dan keluar bersama anak bongsunya," katanya yang mengesahkan enjin kenderaan masih hidup ketika dua beranak itu ditemui.
Balveer Singh memohon semua pihak memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan termasuk menyemak rekod kesihatan mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Ulasan
Catat Ulasan