Isu pemeriksaan telefon bimbit: Ketua Polis akan jumpa SUHAKAM - Saifuddin


Isu pemeriksaan telefon bimbit: Ketua Polis akan jumpa SUHAKAM - Saifuddin

Oleh Zanariah Abd Mutalib - Januari 19, 2025 @ 1:27pm

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) pada sidang media selepas melawat persiapan Asia International Security Summit and Expo (AISSE’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM.

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan bertemu dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi menerangkan mengenai langkah pemeriksaan telefon bimbit oleh polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau meminta Razarudin berbuat demikian dengan segera bagi membolehkan SUHAKAM mengetahui bidang atau skop tugasan yang membolehkan polis membuat pemeriksaan itu.

"Biar ada pertukaran pandangan bagi perspektif yang lebih tepat bagaimana penguatkuasa undang-undang terbesar di negara melaksanakan langkah itu.
"Kita tangani isu ini dan SUHAKAM juga akan faham dalam konteks tugasan polis.

"Biar berlaku adil. SUHAKAM pula tangani isu dari sudut pandang hak asasi dan mempelawa masyarakat (buat laporan) jika ada pelanggaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persediaan menjelang Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE'25), hari ini.

Semalam, SUHAKAM dalam kenyataannya menegaskan pihak polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit seseorang ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.

Justeru, SUHAKAM meminta supaya orang awam untuk cakna dengan hak asasi manusia, terutama ketika diberhentikan, disoal siasat mahu pun ditahan pihak polis.

Razarudin sebelum ini menegaskan polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan syak wasangka yang munasabah.

Beliau memetik Seksyen 23(1) dan 116B Kanun Tatacara Jenayah, serta peruntukan daripada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta Akta Polis.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan, langkah pemeriksaan telefon bimbit berkenaan bukan dilaksanakan sewenang-wenangnya sebaliknya berdasarkan tatacara dan undang-undang yang memberikan polis locus standi, contohnya jika individu yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan.

"Jika berlaku umpamanya orang awam dalam perjalanan, tiba-tiba terus dipanggil (untuk diperiksa telefon). Sudah tentu kita kena tangani isu begitu.

"Sebab itu saya kata, perbincangan ini, biar jangan terkeluar daripada tujuan sebenar. Biar polis jangan dilihat sebagai pasukan yang tidak peduli langsung soal peruntukan undang-undang.

"Kita tidak bertindak begitu. Bila satu keputusan dibuat untuk melakukan pemeriksaan, mesti ada asas untuk itu," katanya.

Ulasan