Kalau ‘tunggang’ Anwar setiap MP PAS boleh RM4 juta



Kalau ‘tunggang’ Anwar setiap MP PAS boleh RM4 juta
January 27, 2025

KOTA BHARU: “Daripada tunggang Najib Razak, lebih baik tunggang Anwar Ibrahim, dapat juga RM4 juta setahun sebagai wakil rakyat. Sekarang bukan setakat RM4 juta, RM4 pun tidak dapat,” sinis Dato’ Idris Ahmad.

Naib Presiden PAS itu mengulas mengenai solidariti PAS baru-baru ini terhadap isu Titah Adendum yang membenarkan mantan Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Malah menurutnya, PAS tidak mempunyai sebarang kepentingan melainkan mahu orang Melayu dan Islam dapat bersatu di bawah agenda penyatuan ummah digagaskan sebelum ini antara PAS, Bersatu dan Umno.

“Kalau kami nak kepada kepentingan, atas asas kami nak kesenangan, lebih baik kami tunggang orang yang ada kuasa. Ini PAS tau, PAS, kami bukan parti opportunis, kami parti yang ada prinsip.

“Kebenaran itu kawan kita walaupun yang dibawa itu musuh, kebatilan itu musuh kita walaupun yang memperjuangkan itu kawan kita, kita ada prinsip dari al Quran dan Sunnah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah penerangan isu-isu semasa peringkat Parlimen Pasir Puteh diadakan di Dewan Terbuka Arena Square Majlis Daerah Pasir Puteh di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengerusi Bersatu Kelantan, Dato’ Kamarudin Md Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata lagi, PAS juga mengambil pendirian sama menyatakan sokongan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kes pemecatan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

“Kalau kami ada kepentingan dunia, waktu kamu dipecat daripada Umno 1998, lebih baik kami tunggang Tun Mahathir daripada tunggang kamu. Lebih baik kami senang, kami tunggang Tun Abdullah Badawi

“Kami tunggang Dato’ Sri Najib, daripada kami tunggang kamu, kami dipukul polis, ada kalangan kami ada dibuang kerja, kontrak dipotong, ditukar tempat kerja waktu kami tunggang kamu,” katanya.

Sebelum ini seorang pemimpin PAN mendakwa PAS tidak layak menjadi contoh parti memperjuangkan Melayu dan Islam kerana dituduh menunggang isu Titah Adendum Najib Tun Razak.

Timbalan Presidennya, Mujahid Yusof Rawa berkata PAS menyertai perhimpunan di Istana Kehakiman, Putrajaya baru-baru ini bertujuan bagi memburukkan reputasi Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

Ulasan