![](https://i0.wp.com/harakahdaily.net/wp-content/uploads/2025/01/IMG-20250123-WA0043.jpg?resize=696%2C391&ssl=1)
Kanun Syariah Kelantan diperkasa, sukar dicabar lagi
Selepas ada peruntukan terbatal
January 24, 2025
NEGARA pernah digemparkan sebelum ini apabila tindakan seorang peguam beragama Islam mengambil keputusan untuk mencabar pelaksanaan perundangan syariah Islam di Kelantan.
Nik Elin Zurin Nik Abdul Rashid bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS).
Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk mengubal peraturan kesalahan jenayah syariah kepada orang Islam.
Petisyen yang dipenuhi dengan kontroversi dan ulasan pakar perundangan berkenaan mendapat perhatian banyak pihak terutamanya bantahan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Februari lalu mengisytiharkan 16 kesalahan enakmen itu adalah terbatal dan tidak sah.
Ia membabitkan Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, Seksyen 14: Liwat, Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat, Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia.
Seksyen 31: Gangguan seksual, Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu, Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan,
Seksyen 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat
Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah, Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba, Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal
Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat, Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat, Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan.
Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram dan Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak) disamping dua perkara diisytiharkan sah.
Ia seperti Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral dan Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan.
Bagaimanapun selepas dua bulan diisytiharkan, kerajaan negeri mengambil langkah pertama pasca pembatalan enakmen itu menganjurkan Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah.
Konvensyen itu menjadi pentas mencungkil solusi bagi memperkasakan semula perundangan syariah di Kelantan dengan percambahan idea pelbagai pihak termasuk tokoh akademik dan pemimpin.
Bahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan usul persendirian bagi memartabatkan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah selepas 16 seksyen dibatalkan Mahkamah Persekutuan.
Dalam pada itu kerajaan negeri turut menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dibantu Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud.
Ia dianggota 15 orang yang kebanyakkan merupakan ahli akademik dan pakar perundangan bagi mengemukakan cadangkan kepada kerajaan negeri untuk membentangkan semula enakmen itu.
Sementara itu Dr Mohamed Fadzli dalam ulasannya berkata, pihaknya berusaha untuk siap perancangan bagi membolehkan kerajaan negeri membentangkan peraturan baharu syariah negeri Julai ini.
Beliau berkata, pengalaman lalu menjadi pengajaran kepada kerajaan negeri agar enakmen yang bakal diluluskan kelak tidak dapat dicabarkan dan dibatalkan lagi pada masa hadapan.
“Jadi kita sudah ada pengalaman dicabar sebahagian enakmen kita dibatalkan, jadi apa yang kita cuba buat selepas ini mengenal pasti mana-mana peruntukan yang telah dibatalkan itu.
“Kita cuba ‘re-enact’ balik sesuai dengan keadaan yang ada dalam negara kita berpandukan kepada kerangka undang-undang supaya ia bertepatan dan tidak ada lagi ruang dicabar dan dibatalkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan