Karnival Tahun Baharu 2025 Perlis ‘serba baharu’


Karnival Tahun Baharu 2025 Perlis ‘serba baharu’
January 1, 2025

KANGAR: Karnival Sambutan Tahun Baru 2025 anjuran Kerajaan Negeri Perlis yang dipenuhi acara dari 8 pagi hingga tengah malam telah diadakan dalam suasana sederhana, tetapi ilmiah dan berjaya menarik kehadiran lebih 2,500 rakyat di Dewan 2020, di sini semalam.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli hadir merasmikan karnival tersebut bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri.

Program pagi dimulakan dengan pertandingan mewarna dan tulisan jawi untuk kanak-kanak, diikuti acara petang yang melibatkan konvoi, himpunan motosikal, dan persembahan pentas.

Pengisian rohani dan ilmiah

Pada sesi malam, program diteruskan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah diikuti Forum Perdana Islam bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat: Membina Generasi Ulul Al-Bab’.

Forum ini menampilkan panelis Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Akram Dato’ Dahaman serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Forum dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Rizal Azizan, disusuli persembahan nasyid oleh Shoutul Al Maad dan kumpulan UNIC.

Kemuncak sambutan ialah tayangan montaj Kerajaan Negeri Perlis dan countdown detik 12 tengah malam, disusuli pelancaran kempen ‘Nak Tenang dan Bahagia – Jom Baca Al Quran’ oleh Menteri Besar, diiringi selawat dan doa oleh kumpulan UNIC.

Pimpinan eratkan hubungan rakyat

Menteri Besar dilihat melayan mesra kanak-kanak yang hadir, sementara belia turut merakam kenangan bersama Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, khususnya ahli Alternative Riding Club (ARC).

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rusdi Yahya; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr Noriman Rojulai; serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

Karnival ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyatupadukan rakyat melalui program berunsur ilmiah dan rohani. – HARAKAHDAILY 1/1/2025


share & sebarkan:

Ulasan