Kelantan pastikan kebajikan mangsa banjir terpelihara



Kelantan pastikan kebajikan mangsa banjir terpelihara
January 7, 2025

KUALA KRAI: Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberi tumpuan dalam menjaga kebajikan rakyat termasuk di kawasan pedalaman dan yang terjejas akibat banjir.

Bagi merealisasikan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah telah mengetuai misi bantuan ke Kampung Ladang Taku dan Kampung Orang Asli Keluat.

Menurut Hilmi, misi berkenaan adalah yang pertama ke Kampung Keluat selepas banjir melanda bulan lepas.

Menurutnya, kelewatan itu disebabkan laluan ke kampung tersebut terputus akibat jalan ditenggelami air sedalam lima meter.

“Feri penghubung juga tidak dapat beroperasi semasa paras air Sungai Kelantan naik dan hanya membolehkan kita masuk ke kampung ini setelah air kembali surut,” katanya.

Dalam lawatan itu juga, penduduk Kampung Keluat telah memohon supaya pembinaan surau baharu menggantikan surau lama yang musnah akibat banjir besar pada tahun 2014.

“InsyaAllah, kita akan rancang pembinaan surau baharu pada tahun ini untuk kemudahan masyarakat setempat,” tambah beliau.

Hilmi ketika dihubungi turut berkongsi sejarah Kampung Keluat, sewaktu masyarakat orang asli di kawasan itu telah memeluk agama Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik pada tahun 90-an.

Dalam misi itu juga sebanyak 70 keluarga di Ladang Taku turut menerima bantuan sumbangan pelbagai pihak

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penghulu Kumarasamy Govindasamy dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Komuniti Masyarakat India Kuala Krai, Mohd Jayamurugan Abdullah, atas bantuan logistik dan pengagihan barang keperluan yang disumbangkan oleh IWK-KUM Cares.

Program ini melibatkan kerjasama strategik antara Pusat Khidmat ADUN Guchil, Halwa DUN Guchil, Pemuda Guchil, Taskforce Kuala Krai – Unit Bantu, Penghulu Wakil Kaum dan barang keperluan pula disumbangkan oleh IWK-KUM. – HARAKAHDAILY 7/1/2025

Ulasan