Kenaikan tambang bas sekolah bukti kerajaan celaru
January 19, 2025
SHAH ALAM: Isu kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka meningkat antara RM5 hingga RM10 mulai Februari ini bukan sahaja membebankan rakyat, malah menyerlahkan lagi kecelaruan pentadbiran kerajaan dalam isu ini.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, rakyat kini berada dalam keadaan keliru dengan pendirian kerajaan, lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri sebelum ini memberi amaran untuk menarik lesen pengusaha bas yang menaikkan tambang.
“Namun kini nada tersebut berubah. Kementerian Pengangkutan menyatakan isu kenaikan tambang adalah di luar kawalan kerajaan, meninggalkan rakyat keliru dan tertanya-tanya siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap isu ini?
“Apa yang jelas, ibu bapa bukan sahaja terpaksa memikul beban tambahan kerana kos operasi yang meningkat, tetapi menjadi mangsa kecelaruan dasar dan komunikasi dalam kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, kelmarin.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan kredibiliti dan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat.
“Bukankah pendidikan, termasuk akses pengangkutan selamat untuk anak-anak ini seharusnya menjadi tanggungjawab yang diutamakan?” katanya.
Justeru, beliau berharap agar kerajaan segera mencari jalan penyelesaian terbaik agar beban itu tidak terus ditanggung rakyat yang sudah cukup tertekan dengan kos sara hidup melambung tinggi.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menggesa Kementerian Pengangkutan untuk campur tangan bagi mengelakkan kenaikan tambang bas sekolah yang dijadualkan bermula Februari ini.
Selain itu, Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) turut memaklumkan pada Rabu lepas (8 Januari) bahawa pengusaha bas telah menyuarakan hasrat untuk menaikkan tambang itu.
Namun kata GPBSM, keputusan akhir akan dibuat berdasarkan persetujuan antara mereka dan pihak ibu bapa. – HARAKAHDAILY 19/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan