Kenapa Zionis Israel kalah dalam perang Gaza?
January 19, 2025
ZIONIS Israel kalah dari sudut politik antarabangsa.
Sokongan masyarakat antarabangsa khususnya negara Barat makin luntur ekoran kekejaman yang dilakukan tentera rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin di Semenanjung Gaza.
Perang Taufan Al-Aqsa yang bermula pada 7 Oktober 2023 mendedahkan topeng sebenar Zionis Israel di mata masyarakat antarabangsa sehingga jutaan manusia di seluruh dunia berdemonstrasi menentang kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin.
Zionis Israel kalah dari sudut moral.
Sebelum ini Zionis Israel dipertontonkan sebagai negara terbaik di dunia dari segi moral yang merangkumi perwatakan, peradaban dan ketamadunan. Manakala rakyat Palestin pula digambarkan sebagai pengganas yang cuba merosakkan serta menjahanamkan negara haram Israel dan ketamadunannya.
Namun kini semuanya telah hancur berikutan pendedahan kekejaman dan ‘genocide’ yang dilakukan selama 15 bulan ke atas warga Palestin di Semenanjung Gaza. Gambaran sebelum ini yang mengagungkan Zionis Israel telah bertukar kepada penjenayah perang yang hakiki di mana kini pada pandangan majoriti masyarakat antarabangsa, Zionis Israel sudah tidak mempunyai moral mahupun maruah serta digambarkan sebagai penjenayah perang yang sebenar.
Zionis Israel kalah dari sudut propaganda.
Sejak daripada penubuhan negara haram Israel, media-media antarabangsa yang didominasi oleh Barat menggambarkan Zionis Israel adalah mangsa kepada warga Palestin. Tindakan mereka membunuh dan menzalimi warga Palestin dianggap sebagai patriotik demi untuk mempertahankan tanah air mereka yang dirampas daripada rakyat Palestin.
Manakala kumpulan pejuang Palestin pula dilabel sebagai pengganas yang wajib dihapuskan dengan apa cara sekalipun.
Kini propaganda tersebut telah musnah, masyarakat antarabangsa sudah ‘celik mata’ dan sedar siapa sebenarnya mangsa dan pengganas. Bukan sekadar itu sahaja, akibat kesedaran ini dan kekejaman yang sedang berlaku, dunia telah mula mengetahui bagaimana sejarah kewujudan negara haram Israel dan tipu daya untuk mewujudkannya serta segala kekejaman dan ‘genocide’ yang berlaku ke atas warga Palestin sepanjang kewujudan negara haram Israel.
Zionis Israel kalah dari sudut ekonomi.
Sejak bermulanya perang ‘Taufan Al-Aqsa’, ekonomi negara haram Israel berada dalam keadaan amat membimbangkan. Kos untuk perang di Gaza dijangka mencecah USD66 bilion sehingga akhir tahun ini termasuk perbelanjaan awam yang dianggarkan bersamaan 12 peratus KDNK negara.
Kemasukan pelaburan asing menjuman begitu teruk sekali dengan syarikat-syarikat dari negara haram Israel dalam skala yang membimbangkan telah mula berhijrah ke Barat. Defisit budget pula meningkat daripada 4 peratus kepada 8 peratus dengan firma penarafan kredit dan kewangan antarabangsa Moddy’s untuk tahun 2024 sahaja telah menurunkan sebanyak 2 kali kadar penarafan kredit dan kewangan negara haram Israel kepada Baa1.
Dianggarkan pada tahun 2024, sebanyak 60,000 syarikat bakal ‘gulung tikar’ dengan sektor pertanian, pelancongan dan pembinaan terjejas dengan amat teruk sepanjang perang kali ini. Tindakan Yaman mengenakan ‘blockade’ di Laut Merah yang menghalang kapal perdagangan dari memasuki pelabuhan Ilaat memburukkan lagi keadaan sehingga penganalisa ekonomi meramalkan sektor ekonomi negara haram Israel dalam jangka masa panjang akan mengalami keadaan suram dan tidak menentu.
Zionis Israel kalah dari sudut ketenteraan.
Dari sudut persenjataan dan sistem pertahanan, tentera rejim Zionis Israel dilihat gagah pada setiap lapangan. Realitinya, kelebihan mereka hanyalah pada armada pesawat pejuangnya sahaja. Buktinya, sebelum berlakunya gencatan senjata di Lubnan, tidak seinci pun bumi Lubnan berjaya dijajah oleh mereka.
Begitu juga di Syria sebelum kejatuhan rejim Basyar Al-Asad, tidak seinci pun bumi Syria dijajah tentera rejim Zionis Israel. Walaupun Lubnan dan Syria di bom bertali arus, tentera rejim Zionis Israel gagal dalam misinya untuk menghentikan serangan roket Hizbullah di Utara yang kini kosong dan lenggang tanpa penghuni.
Iran langsung tidak terjejas dengan serangan dan ancaman rejim Zionis Israel namun sebaliknya operasi ketenteraan Iran ‘True Promise’ 1 dan 2, pihak Zionis Israel pula berasa amat takut dan terancam dengan serangan gerombolan peluru berpandu balistik hipersonik Iran ke atas negara haram Israel. Begitu juga dengan Ansarullah di Yaman, walaupun diserang dan dibom dengan hebat oleh pesawat pejuang Amerika Syarikat dan sekutunya, serangan peluru berpandu balistik hipersonik dan dron dari Yaman benar-benar menggugat Zionis Israel.
Iran menyatakan bahawa ‘True Promise’ 3, iaitu serangan balas Iran ke atas negara haram Israel akan dilancarkan bersama-sama dengan sekutunya dari ‘Axis of Resistant’ akan lebih dahsyat dari sebelumnya, bayangkan apa akan berlaku ke atas negara haram Israel. Manakala di medan utama iaitu Gaza, tentera rejim Zionis Israel gagal menewaskan HAMAS, malah akhir-akhir ini serangan HAMAS ke atas tentera rejim Zionis Israel di Gaza banyak mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Maka disebabkan itulah pada pandangan Barat khususnya Amerika Syarikat, gencatan senjata perlu dilaksanakan segera di Semenanjung Gaza. Bukan sahaja untuk mengelakkan hancur dan kalahnya Zionis Israel di tangan pejuang Palestin khususnya HAMAS, lebih daripada itu lagi ialah untuk mengelak malu besar ke atas pelindung utamanya iaitu Amerika Syarikat serta sekutunya yang mendukung agenda impirealisme.
“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”
DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 19/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan