Kenderaan bertambah, jalan raya macam itu juga…



Kenderaan bertambah, jalan raya macam itu juga…
Oleh Yulpisman Haji Asli
9 Januari 2025, 6:33 am

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Proton merekodkan jualan sebanyak 152,352 buah kenderaan sepanjang tahun lalu. Pada Disember sahaja, syarikat automotif nasional itu menjual sebanyak 14,601 buah kenderaan.

Sementara itu, Perodua mencatatkan jumlah jualan lebih sekali ganda Proton, apabila menjual 358,102 buah kenderaan pada 2024, rekod pendaftaran tertinggi Syarikat itu dengan peningkatan 8.4 peratus berbanding 2023.

UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMT) pula merekodkan jualan sebanyak 102,300 buah kenderaan. Manakala Honda Malaysia sebelum ini menyasarkan jualan 95,000 unit pada tahun ini.

Berdasarkan angka-angka di atas, negara menyaksikan pertambahan lebih 700,000 buah kenderaan di atas jalan raya ketika ini.

Tahniah kepada syarikat-syarikat automotif yang terus merekodkan pertumbuhan dalam jualan tahunan mereka. Peningkatan jualan kenderaan itu menunjukkan kemampuan ekonomi rakyat juga semakin meningkat. Ia pastinya dipacu untuk pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan yang semakin kukuh dan bertambah dalam negara.

Berdasarkan prestasi tahun lalu, dijangka jualan kenderaan pada tahun ini juga meningkat, seiring unjuran ekonomi tempatan dan global yang terus kukuh. Kerajaan pada tahun ini menjangkakan ekonomi negara tumbuh sekitar lima peratus. Insya-Allah pertumbuhan yang mampu dicapai oleh negara.


Pertambahan jualan kenderaan turut menyumbang kepada kesesakan jalan-jalan dan lebuh-lebuh raya. Ketika bilangan kenderaan bertambah ratusan ribu setiap tahun, `pertumbuhan’ jalan raya dan lebuh raya pula tidak serancak itu.

Misalnya, struktur dan saiz jalan serta lebuh raya kebanyakannya hampir tidak berubah. Jika berubahpun fizikal jalan dan lebuh raya berkenaan, ada yang semakin berlubang dan ditambal sana sini. Lebih malang, jika kerosakan jalan sangat perlahan untuk dibaiki. Kesannya, pengguna berdepan pelbagai risiko termasuk kemalangan maut.

Dari segi aliran trafik pula, pertambahan kenderaan bererti jalan-jalan dan lebuh-lebuh raya sesak saban hari. Kelmarin misalnya, saya menghabiskan masa kira-kira tiga jam untuk pergi dan balik ke tempat kerja dengan jarak kira-kira 60 kilometer. Tempoh diambil lebih lama sekiranya hujan dan berlaku kemalangan sama ada kecil atau besar.

Kesan kesesakan itu, pengguna membazirkan lebih banyak masa di atas jalan. Minyak juga lebih banyak dibazirkan, begitu juga tenaga dan usia. Badan makin mudah lesu dan mental juga semakin tertekan. Dengan penyasaran subsidi petrol kelak, kerugian ditanggung pengguna akibat terperangkap dalam kesesakan, akan berganda. Ini amat merugikan.

Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan