Kerja atau kehidupan peribadi lebih penting?
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
27 Januari 2025, 7:20 am
Wujudkah keseimbangan kerja dan kehidupan dalam maksud sebenar? Adakah seseorang mampu mencapai keharmonian dan mampu membahagikan tuntutan kerja dan kehidupan peribadi? Atau adakah semua ini mitos?
Ketika ini ada pertembungan pandangan antara mereka daripada kelahiran Gen-Z dan mereka yang lahir lebih awal atau “umur-umur kita” dalam 50-an mengenai keseimbangan hidup-kerja.
Golongan muda kini menuntut keseimbangan kerja-hidup. Mereka mahu hidup yang tidak tertekan. Mereka mahukan ruang yang membolehkan mereka mengutamakan keperluan peribadi berbanding kerja.
Tuntutan-tuntutan keseimbangan itu memaksa majikan bertindak, melaksanakan norma fleksibel, memperkenalkan waktu kerja anjal, kerja di rumah dan banyak kemudahan lain.
Golongan muda mahu hidup mewah dan merasakan mereka berhak kepada sesuatu yang lebih baik. Gaji lebih tinggi. Kereta lebih canggih. Kediaman canggih. Persekitaran kerja kondusif dan tiada tekanan. Mereka mahu ada masanya hendak ‘katakan tidak’ kepada kerja.
Mereka mahu masa untuk bersama rakan di kafe sambil meneguk kopi mahal (ada yang tidak minum kopi) akan memilih teh yang tidak kurang ‘Londonnya’. Lihat saja kepada telefon yang mereka guna. Ia mesti sesuatu yang dapat mengambil gambar canggih untuk dimuatkan dalam media sosial.
Tuntutan itu diburukkan dengan kewujudan golongan pempengaruh yang tidak berhenti menayang kekayaan daripada beg ‘birkin’ kepada kereta mewah, rumah moden dan barang kemas yang ‘lit lap’.
Kepada golongan muda, itu kehidupan yang mereka mahukan dan menyangkakan semuanya ‘lebih mudah’. Orang lain hanya perlu muncul di media sosial, ada rupa sedikit, buat beberapa video dan bercakap mengenai topik tertentu, terus jadi kaya. Tidak perlu otak geliga.
Pada masa sama wujud kumpulan yang hampir ‘dinosaur’ yang tidak dibesarkan dalam kemewahan. Mereka hanya diajar mengenai bekerja keras. Belajar dan belajar kerana itu tiket untuk kehidupan lebih baik. Mereka tiada media sosial untuk dibazirkan masa. Buku menjadi peneman. Padang bola menjadi ‘kafe’ untuk bersosial. Ada pulang ketika cuti semester yang berniaga. Ada yang menoreh getah. Ada yang mencari upah kerja di kedai makan dan gerai.
Mereka tidak pernah mengimpikan kehidupan mewah tetapi hanya mahu mengurangkan beban ibu bapa. Kesusahan yang mereka lalui adalah hanya cebisan daripada kepayahan dialami ibu bapa mereka.
Kebanyakan mereka juga mengajar perkara sama kepada anak-anak walaupun berdepan cabaran menghadapi Gen-Z yang pemikiran berbeza. Adakah golongan terkaya di dunia atau Malaysia berjaya kerana sibuk memuat naik gambar hidangan atau memikirkan projek seterusnya atau bertungkus lumus membesarkan empayar atau memastikan ribuan pekerja dibayar gaji pada hujung bulan.
Sama ada suka atau tidak, keadaan sudah berubah. Gen-Z semakin bersuara dan mereka akan menguasai kebanyakan institusi dalam tempoh kurang sedekad. Tuntutan mereka akan menjadi norma suatu hari nanti.
Setiap generasi berhak menuntut perubahan. Bagaimanapun, asas kejayaan, tidak kira golongan Z atau ‘baby boomers’ masih satu – kerja keras. Pokok tumbang, dahan patah ketika ribut. Tetapi kerja keras seperti rumput, ia bangun selepas semuanya reda. – UTUSAN
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd..
Ulasan
Catat Ulasan