Kita Malaysia, bukan negara orang putih – Mansor Zakaria
Tulisan rumi, jawi dan lain-lain bahasa di papan iklan
January 19, 2025
ALOR SETAR: Penggunaan tulisan rumi adalah melambangkan identiti rakyat Malaysia, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria.
“Kita nak orang kenal bila datang ke di Kedah, kita adalah negeri Tanah Melayu, Negara Malaysia. Kita bukan negeri orang putih dan sebagainya. Kita nak orang faham dan boleh baca.
“Sebab itulah kita mahu tulisan rumi menjadi tulisan wajib di billboard,” ulasnya dan menjelaskan bahawa tulisan jawi pula menjadi tulisan kedua untuk menggalakkan tulisan itu digunakan.
Katanya, beliau tidak merasakan perkara itu menjejaskan keharmonian kaum sepertimana yang didakwa oleh pihak tertentu dan penggunaan tulisan jawi bukanlah perkara akan menggugat keamanan.
Sebelum ini menurutnya, terdapat banyak papan tanda atau papan iklan telah menggunakan tulisan jawi sebagai tulisan kedua dan setakat ini tiada apa-apa masalah yang timbul.
Justeru kata beliau, masyarakat bukan-Islam tidak perlu takut atau bimbang dengan cadangan serta saranan tersebut.
Berkaitan larangan memaparkan gambar wanita seksi dan tulisan berbaur perkauman ujarnya, ia adalah satu pendekatan yang baik untuk mengelak eksploitasi atau memperagakan wanita.
Tegasnya, kaum wanita mestilah dihormati dan dilindungi dari diperlakukan demikian yang hanya ber tujuan melariskan barangan jualan atau sebagainya.
Manakala tulisan berbaur perkauman kata beliau, berpotensi mewujudkan tidak keharmonian kaum serta boleh menggugat kestabilan dan perpaduan kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Ini bermakna penguatkuasaan yang akan kita laksanakan itu
menjaga hak wanita dan menjaga keharmonian sesama kita. Di Kedah ni kita nakkan rakyatnya hidup aman damai bersatu-padu dan bertoleransi.
“Paparan atau tulisan bertujuan menjatuhkan keharmonian kaum dan memecah- belah masyarakat, kita tidak mahu,” tegasnya lagi.
Perkara itu semua, ulas beliau adalah asas dalam pembentukan sebuah negeri dan sebaiknya setiap yang dipaparkan adalah berfaedah kepada rakyat.
Oleh itu beliau menasihatkan agar mana-mana kaum khususnya bukan-Melayu tidak perlu risau atau mengambil negatif dengan cadangan berkenaan.
“Benda yang baik yang kita nak utarakan, sebab sebagai sebuah kerajaan kita nak benda yang baik menjadi ikutan dan teladan kepada masyarakat.
“Tulisan yang kita wajibkan iaitu tulisan rumi adalah tulisan yang boleh dibaca semua lapisan masyarakat dan rakyat utama negeri ini,” katanya lagi.
Sebelum ini jelas Mansor, pihaknya menerima pelbagai kritikan terutama dari akhbar berbahasa Cina sebaik sahaja kenyataannya berkenaan penguatkuasaan tiga tulisan tersebut di papan iklan.
“Walaupun banyak komen-komen di akhbar berbahasa Cina dan lain-lain tetapi kita harap rakyat negara dan negeri ini janganlah memandang perkara itu negatif sebaliknya pandanglah dari sudut positif,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan