Klinik swasta caj RM1,500 gugur kandungan janin
Dasar Hospital Kerajaan yang tidak melakukan pengguguran tanpa alasan munasabah menyebabkan klinik swasta melakukan pengguguran secara haram. - GAMBAR HIASAN
Oleh ASLINDA NASIR
9 Januari 2025, 6:27 am
KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik nama ‘hospital bersalin’, sebuah pusat perubatan di sekitar Ampang, dekat sini didapati menjalankan prosedur menggugurkan kandungan secara tidak sah.
Dengan hanya mengenakan bayaran RM1,500, klinik ini dikatakan telah beroperasi sejak 10 tahun lalu tanpa diketahui pihak berkuasa, malah menjadi ‘pilihan’ pesakit dalam kalangan wanita yang terdesak menggugurkan kandungan mereka sama ada sudah berkahwin atau di luar pernikahan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, klinik tersebut dibuka pada pukul 10 pagi setiap hari dan hanya terdapat seorang pembantu klinik untuk melayan pesakit yang hadir selepas membuat janji temu terlebih dahulu.
Difahamkan, klinik tersebut mempunyai beberapa rangkaian cawangan lain yang beroperasi secara terbuka dan menerima pesakit mengikut janji temu yang dibuat.
Salah seorang ‘pesakit’ yang hanya mahu dikenali sebagai Tina ketika ditemui memberitahu, dia tahu kewujudan klinik tersebut daripada rakannya dan mahu menggugurkan kandungan yang berusia lapan minggu.
Luahnya, dia terpaksa mencari jalan pintas ke klinik tersebut kerana memahami undang-undang di Malaysia tidak membenarkan membuat sebarang pengguguran di mana-mana hospital atau klinik berdaftar.
“Saya benar-benar terdesak untuk menggugurkan kandungan ini sebab saya sudah ada enam orang anak dan tidak mampu lagi untuk menambah anak atas faktor kewangan.
“Sebab itu saya mencari tempat sebegini bagi menyelesaikan masalah saya. Ini kali kedua saya lakukan pengguguran kandungan di sini dan prosedur yang dilakukan berjaya dibuat,” katanya.
Menceritakan lanjut, Tina berkata, usia kandungan pesakit akan disahkan terlebih dahulu melalui imbasan pada sebelah pagi dan prosedur mengeluarkan janin akan dilakukan selepas pembayaran dibuat pada sebelah petang.
Dia difahamkan, doktor yang membuat prosedur itu bekerja di hospital lain dan hanya datang ke klinik terbabit jika ada pesakit yang ada janji temu.
“Saya akan diberi pil terlebih dan perut akan rasa sakit dalam masa 30 minit. Jika ketulan darah tidak keluar selepas makan pil, barulah prosedur mengeluarkan janin dilakukan,” katanya.
Seorang lagi pesakit yang dikenali Mira berkata, ketika dia hadir ke klinik tersebut, terdapat beberapa orang lagi wanita lain sedang menunggu giliran untuk melakukan prosedur sama.
“Kalau setiap pesakit dikenakan caj RM1,500, ini bermakna hampir RM5,000 setiap hari mereka mengaut keuntungan.
“Saya faham apa yang saya buat ini memang salah, saya percaya wanita di luar sana pun tahu perkara ini salah. Tetapi ramai yang diam sebab memikirkan hanya klinik ini mampu ‘selamatkan’ keadaan kami, walaupun kami tahu ada risiko yang perlu ditanggung apabila menggugurkan kandungan,” ujarnya.
Katanya, dia pernah diberitahu pembantu klinik di situ, caj yang dikenakan lebih mahal jika kandungan mereka lebih besar.
“Jika ada yang tidak mampu, pembantu klinik itu akan memberikan pilihan untuk pesakit.
“Namun, jika kandungan masih tidak gugur, pembantu tersebut akan menyarankan untuk membuat pembedahan kecil dengan menambah lagi baki bayaran daripada jumlah RM1,500 mengambil pil yang bernilai RM400 bersekali suntikan untuk menggugurkan kandungan.
tersebut,” ujarnya.
Berdasarkan pencarian senarai klinik berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pusat perubatan tersebut tiada dalam rekod. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan