Konsert tahun baru 4 maut, himpunan aman tak dibenar?





Konsert tahun baru 4 maut, himpunan aman tak dibenar?
January 4, 2025

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengkritik larangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak yang bakal diadakan penyokongnya pada 6 Januari ini.

Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali berkata, perhimpunan itu seharusnya dibiarkan berjalan dengan kawalan keselamatan ketat tanpa sekatan yang tidak wajar.

“Apa salahnya lima atau enam ribu orang berhimpun? Ini hanya perhimpunan aman. Tak ada apa-apa cedera pun. Eh nak nasihat jangan.

“Itu, konsert menyambut tahun baru, puluh ribu, ada mati empat orang, lagi boleh dibiarkan? Tiap-tiap tahun benarkan. Macam maksiat, macam dadah, macam apa segala benda ada?

“Ini rakyat nak berhimpun, penyokong Dato’ Sri Najib nak pergi dan orang-orang yang melihat suasana nak pergi, nak pergi tengok keputusan siapa yang betul, betul ke ada adendum?

“Kenapa perhimpunan solidariti ini dihalang?” soal beliau dalam sidang media di sini hari ini.

Sidang media tergempar itu turut dihadiri oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) , Mohd Zai Mustaffa; Naib Pengerusi UMMAH, Hishamuddin Abu Bakar serta Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Beliau menegaskan bahawa tindakan melarang rakyat berhimpun boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap pihak berkuasa, termasuk dakwaan bahawa PDRM menjadi alat politik.

Syed Hassan menyeru semua pihak untuk menghormati hak rakyat dalam sistem demokrasi dan membenarkan perhimpunan solidariti berjalan dengan aman.

“Biarkan rakyat bersuara secara demokratik dan aman. Peranan polis adalah menjaga keselamatan, bukan mengugut rakyat. Kita perlu memastikan demokrasi kekal subur di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2025

Ulasan