Kos rawatan klinik swasta naik



Kos rawatan klinik swasta naik
FASILITI dan peralatan moden serta layanan menjadikan ramai pesakit memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta.
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA dan NAZIM SYAZWI
2 Januari 2025, 7:00 am

PETALING JAYA: Kos rawatan di kebanyakan hospital dan klinik swasta di negara ini didapati melambung naik bermula November tahun lalu.

Kenaikan kos sehingga me­lebihi 100 peratus itu turut me­libatkan caj ubat-ubatan yang tidak sepatutnya dibekalkan kepada pesakit atas alasan sebagai ‘persediaan’ jika alami gejala lain.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai me­nga­kui caj rawatan yang dikenakan di pusat rawatan swasta teruta­manya klinik amat membebankan ketika ini.

Seorang pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, dahulu dia mengeluarkan belanja antara RM50 hingga RM70 setiap kali ke klinik swasta jika demam atau sakit ringan.

Tetapi kini, katanya, kos itu meningkat sekali ganda dan le­bih membebankan doktor akan membekalkan ubat yang tidak perlu.

“Caj rawatan di klinik swasta bagi rawatan demam ketika ini boleh mencecah RM120 sehingga RM150 dan saya rasa harga itu amat membebankan. Itu baru demam, bayangkan jika ada sakit yang lebih serius.


“Kita pergi ke klinik atau hospital swasta kerana tidak perlu menunggu lama, selain percaya konsultasi yang diberikan oleh doktor juga lebih lengkap.

“Namun, dengan harga yang dikenakan, mungkin akan bera­lih semula ke klinik atau hospital kerajaan, tidak kisahlah perlu menunggu lama asalkan harga­nya lebih murah dan berpatutan,” katanya.

Bagi peniaga, Abdul Faqir Hassan, 37, pula berkata, dia pernah dikenakan caj berlebihan bagi rawatan kecederaan patah tulang.

Katanya, dia diberikan rawatan X-ray serta MRI serentak sedangkan satu daripada rawatan itu sudah memadai.

“Tiada sebarang perbincangan atau pertanyaan dibuat dengan saya sedangkan pesakit berhak mengetahui jenis rawatan yang akan diberikan kepada mereka.

“Bila isu seperti ini berlaku, kami akan dikenakan caj berlebihan yang tidak sepatutnya,” ujarnya.

Situasi itu diakui oleh bekas pembantu klinik, Nur Syakilah Irdina Wirdana, 24, yang menyatakan pesakit selalunya tidak menyedari mereka sebenarnya diberikan rawatan atau ubatan tambahan yang tidak perlu bagi menangani masalah kesihatan mereka.

Katanya, pesakit yang mengalami demam sering diberikan ubat tambahan oleh doktor seperti ubat sakit tekak atau batuk walaupun tiada sebarang gejala tersebut.

“Kalau pesakit hanya demam, sepatutnya cukup dengan ubat demam dan jika perlu antibiotik. Tetapi doktor tetap memberikan ubat lain sebab nak caj lebih.

“Ada juga ubat yang sama, tetapi dijual dengan harga yang berbeza. Doktor semacam sengaja memilih ubat yang lebih mahal supaya dapat mengenakan caj lebih tinggi,” jelasnya.

Seorang mahasiswa universiti awam, Fatin Nursyamimi Kamal, 22, pula berkata, dia mengalami kecederaan parah pada jari dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik swasta atas faktor kecemasan ekoran hospital kerajaan terletak jauh.

Katanya, walaupun rawatan hanya melibatkan pembersihan ringan dengan kapas pembersih dan tiada sebarang jahitan atau ubat, beliau tetap dikenakan caj RM80.

“Bagi saya, caj tersebut terlalu mahal dan tidak masuk akal dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Pengalaman ini membuatkan saya berasa kurang berbaloi mendapatkan rawatan di sektor swasta dan akan bergantung pada kerajaan sahaja selepas ini,” katanya.

Seorang pesakit, Afif Azman, 45, berkata, dia terkejut apabila dikenakan caj hampir RM3,500 hanya untuk rawatan demam denggi selama dua hari di sebuah hospital swasta di Perak.

Katanya, dia hanya diberikan ubat demam, ubat tahan sakit dan dimasukkan air selama dua hari.

“Tetapi bil yang dikenakan sangat tinggi sehingga saya terpaksa menggunakan simpanan kecemasan untuk menyelesaikan bayaran.

“Malah, caj katil sahaja mencecah RM400 semalam, manakala kos ujian darah dan pemeriksaan doktor turut menyumbang kepada jumlah caj yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Ulasan