
Lebih 350 trak UNICEF masuk Gaza minggu pertama gencatan senjata
BERNAMA-WAM - Januari 28, 2025 @ 4:29pm
Rakyat Palestin berjalan menuju ke Gaza City ketika mereka melintasi koridor Netzarim dari selatan Gaza pada 27 Januari 2025. - Foto AFP
NEW YORK: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mempercepatkan pengagihan bekalan dan perkhidmatan kepada kanak-kanak di Semenanjung Gaza, dengan lebih 350 trak memasuki kawasan itu pada minggu pertama gencatan senjata yang dinanti-nantikan, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Trak berkenaan yang membawa air, kit kebersihan, rawatan kekurangan zat makanan, pakaian tebal, kanvas dan bantuan kemanusiaan kritikal lain, memasuki kawasan itu melalui pintu masuk di utara dan selatan Semenanjung Gaza serta diagihkan bersama rakan kerjasama kepada keluarga yang memerlukan, menurut kenyataan UNICEF yang dikeluarkan pada Ahad.
Lebih dua juta penduduk di Semenanjung Gaza, separuh daripadanya kanak-kanak, menghadapi kekurangan teruk keperluan asas termasuk air bersih, sanitasi, makanan dan rawatan perubatan. Kerosakan infrastruktur adalah amat teruk, menyebabkan banyak sekolah, hospital dan rumah musnah.
"Pasukan kami bekerja tanpa henti untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan, terutamanya di kawasan yang sebelum ini tidak dapat dicapai kerana cabaran operasi atau sekatan," kata Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell.
"Pasukan UNICEF terus menemui dengan kanak-kanak yang berada dalam keadaan amat memerlukan. Gencatan senjata telah memberikan sedikit kelegaan, tetapi keluarga kembali ke kawasan yang telah musnah sepenuhnya. Kesan fizikal dan emosi amat mendalam." – BERNAMA-WAM
Ulasan
Catat Ulasan