Nasib TikTok di AS kini di tangan Trump
Oleh Athirah Huda Zalhe
19 Januari 2025, 9:30 pm
WASHINGTON: TikTok memutuskan aksesnya untuk pengguna di Amerika Syarikat (AS), beberapa jam sebelum undang-undang baharu yang mengharamkan platform itu berkuat kuasa.
Mesej pada aplikasi untuk pengguna AS menyatakan undang-undang yang melarang TikTok dikuatkuasakan, bermakna akses kepada platform itu dihentikan buat masa ini.
“Kami bernasib baik kerana Presiden Donald Trump menyatakan beliau akan bekerjasama untuk mencari penyelesaian bagi mengembalikan TikTok sebaik sahaja memegang jawatan,” kata mesej itu.
Keputusan dibuat selepas platform media sosial itu memberi amaran ia akan ‘dipadam’ pada Ahad, melainkan pentadbiran Joe Biden memberi jaminan larangan itu tidak dikuatkuasakan.
Trump berkata, beliau dan Presiden China, Xi Jinping, sudah membincangkan mengenai TikTok dalam satu panggilan telefon Jumaat lalu.
Beliau berkata, pentadbirannya berkemungkinan mempertimbangkan untuk memberi TikTok penangguhan 90 hari daripada larangan sebaik sahaja memegang jawatan.
“Penangguhan 90 hari adalah keputusan yang berkemungkinan besar berlaku, kerana ia sesuai,” kata Trump kepada NBC News, sambil memaklumkan untuk memutuskan perkara itu selepas pelantikannya.
Pentadbiran Biden yang tamat tempoh memerintah berkata, ia menyerahkan langkah selanjutnya kepada Trump, namun jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre menganggap kenyataan terkini TikTok sebagai ‘lakonan’.
Sejak semalam, pengguna melaporkan aplikasi itu telah dialih keluar dari kedua-dua kedai aplikasi Apple dan Google AS, sementara TikTok.com tidak lagi menunjukkan video.
Selepas berbulan-bulan pergelutan undang-undang, Mahkamah Agung AS mengekalkan keputusan mengharamkan TikTok atas alasan keselamatan negara, melainkan ByteDance yang berpangkalan di China menjual platform itu sebelum Ahad.
Keputusan mahkamah sebulat suara itu merisikokan lebih 170 juta pengguna TikTok yang tidak dapat mengakses aplikasi tersebut bermula Ahad.
Apple, Google milik Alphabet, Oracle dan syarikat lain boleh menghadapi denda besar jika mereka terus menyediakan perkhidmatan kepada TikTok selepas larangan berkuat kuasa.- AFP
Ulasan
Catat Ulasan