PA sedia tadbir Gaza selepas gencatan senjata



PA sedia tadbir Gaza selepas gencatan senjata
RAKYAT Palestin meraikan pengumuman perjanjian gencatan senjata di sepanjang jalan di Khan Younis, selatan Gaza.- AFP
Oleh Athirah Huda Zalhe
20 Januari 2025, 9:00 am

RAMALLAH: Presiden Mahmoud Abbas memaklumkan kesediaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk memikul tanggungjawab penuh di Gaza pasca perang.

Perkara itu diumumkan Abbas dalam kenyataan pertamanya sejak perjanjian gencatan senjata diumumkan antara Israel dan pejuang Hamas.

“Kerajaan Palestin, di bawah arahan Presiden Abbas, sudah menyelesaikan semua persiapan untuk memikul tanggungjawab penuh di Gaza,” kata kenyataan presiden pada Jumaat.

Katanya, ia akan merangkumi pemulangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, penyediaan perkhidmatan asas, pengurusan lintasan dan pembinaan semua wilayah yang dilanda perang.

Kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita Wafa juga mengulangi seruan kerajaan Abbas mengenai keperluan gencatan senjata dan pengunduran penuh Israel dari Gaza.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa berkata, institusi kerajaan bersedia untuk meningkatkan kerja mereka dan memulihkan perkhidmatan asas di Gaza.

Beliau berkata, kerajaan juga menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk menyusun semula misi pemantauan ke lintasan sempadan Rafah dan membantu memudahkan kemasukan bantuan.

“Menteri Palestin mempunyai arahan yang jelas mengenai apa yang perlu dilakukan sebaik sahaja gencatan senjata bermula.

“Kami mempunyai rancangan untuk 100 hari seterusnya,” katanya semasa lawatan ke Brussels, Jumaat lalu.

Walaupun Hamas menguasai Gaza sepenuhnya sejak 2007, PA yang didominasi oleh gerakan Fatah, mengendalikan Tebing Barat yang diduduki tentera Israel.

Pada masa ini, Israel tidak mempunyai pendirian jelas mengenai tadbir urus pasca perang, selain menolak sebarang peranan untuk Hamas dan PA.

Pegawai Israel, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, berulang kali menentang Hamas atau PA yang memerintah wilayah Palestin, menyifatkan senario tersebut sebagai ‘ganjaran’ untuk serangan 7 Oktober 2023.

Namun, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken minggu lalu berkata, PA harus harus mengendalikan wilayah pantai itu.

Pemimpin Palestin merentasi pelbagai kumpulan menolak sebarang campur tangan luar dan menegaskan hak mereka dalam menentukan masa depan Gaza.- AGENSI

Ulasan