PAS tidak pernah halang penganut bukan-Islam
Minuman keras atau arak
January 28, 2025
ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz menjelaskan kepada penduduk kaum Cina bahawa larangan minum arak hanya terhad kepada umat Islam dan tidak melibatkan bukan-Islam. (FOTO: FB/Shehdi Hazrik)
HULU LANGAT: Tanggapan bahawa PAS melarang penganut bukan Islam daripada meminum arak apabila memenangi mana-mana kawasan adalah sama sekali tanggapan salah dan tidak berasas.
Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Hulu Langat, Shehdi Hazrik Shamsudin berkata, terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat Cina berhubung isu penjualan arak kepada penganut bukan-Islam.
“Dalam sejarah PAS mentadbir negeri, tidak pernah ada satu pun larangan minum arak kepada penganut bukan-Islam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Isnin.
Beliau berkata, apa yang diwartakan oleh PAS adalah larangan menjual minuman keras kepada umat Islam serta larangan penjualan arak secara komersial di kawasan majoriti umat Islam bagi menghormati sensitiviti penduduk dan pekerja Muslim.
“Penjualan arak banyak di pasar raya dan kedai-kedai makanan Cina secara tertutup tidak pernah dihalang dan PAS memahami kehendak bukan-Islam,” katanya yang juga Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia.
Shehdi berkata, isu itu juga turut mendapat perhatian Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Hulu Langat agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Perbandaran Kajang mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak yang berleluasa.
“Oleh kerana jumlah kemalangan jiwa berpunca dari pemandu mabuk dan kes kekerasan rumah tangga turut meningkat. Minuman keras banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat.
“Namun masih meraikan keperluan bukan-Islam dalam budaya mereka meraikan perayaan di dalam premis yang dibenarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Terdahulu, PAS Hulu Langat menyantuni masyarakat Cina sempena Tahun Baru Cina 2025 di Pasar Kampung Baru Semenyih dan Dusun Tua pada Ahad.
Lawatan itu disertai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz; dan Ketua Penerangan DHPP Selangor, Poobalan Pannir Selvam T.
Ketika Nushi memperkenalkan diri dan meminta jika ada aduan boleh memaklumkan kepada beliau, penduduk berbangsa Cina secara berseloroh berkata, ‘kami mahu minum sahaja’.
Lalu, Nushi menjelaskan bahawa larangan minum arak hanya terhad kepada umat Islam dan tidak melibatkan bukan-Islam.
Dengan penjelasan ini, PAS berharap dapat memperbetulkan salah faham yang berlaku dan terus memperkukuhkan perpaduan serta keharmonian di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. – HARAKAHDAILY 28/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan