Pemain warisan dari Belanda perkuat skuad Harimau Malaya

Pemain warisan dari Belanda perkuat skuad Harimau Malaya

Oleh Syafiq Aznan - Januari 28, 2025 @ 4:27pm
Pemain berdarah warisan dari Belanda sah akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027, Mac depan. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Pemain berdarah warisan dari Belanda sah akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027, Mac depan.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend yang mengesahkan kelompok pemain itu sudah berada dalam fasa akhir untuk 'diMalaysiakan'.

Friend menjelaskan kehadiran pemain warisan baharu ini akan membantu barisan kejurulatihan memiliki lebih banyak pilihan untuk memantapkan pasukan bagi aksi penting itu nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend. - Foto FAM

"Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.

"Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang untuk Kelayakan Piala Asia 2027 dengan mempunyai pilihan yang lebih luas.


"Dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya," kata Friend menerusi satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Dalam masa sama, Friend menegaskan pengambilan 'sumber luar' ini tidak bermakna badan induk itu mengabaikan pembangunan anak tempatan khususnya dari peringkat akar umbi.

"Walau bagaimanapun, kami tetap sama-sama komited untuk mencapai hasil dalam pembangunan pemain domestik di semua peringkat bola sepak di Malaysia.

"Walaupun naturalisasi adalah antara komponen penting dalam strategi kami, kami memahami kepentingan memupuk bakat tempatan untuk memastikan kejayaan yang mampan buat pasukan kebangsaan.

"Matlamat kami adalah mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia," katanya.

Ulasan