PETRONAS sumbang peralatan memasak untuk PPS Kelantan
January 7, 2025
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menerima sumbangan set lengkap peralatan memasak berskala besar daripada PETRONAS untuk kegunaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu mangsa banjir.
Sumbangan berkenaan diserahkan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Negeri, Rohani Ibrahim dalam satu majlis ringkas hari ini.
Set peralatan memasak ini bertujuan memastikan penyediaan makanan di PPS berjalan lancar dan kebajikan mangsa banjir terjaga dengan baik.
Rohani ketika memberitahu media berkata, antara peralatan yang disumbangkan PETRONAS adalah seperti 30 set periuk, 30 unik kawah, dapur memasak, bekas nasi (27 liter).
Turut disumbangkan katanya, bekas minuman (26 liter) cerek air alumunium (7 liter).
“Peralatan ini diletakkan di Depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pengkalan Chepa, dekat sini buat sementara waktu. Kita agak agihkan mengikut keperluan PPS yang kritikal bagi kegunaan untuk memasak pada mangsa-mangsa banjir,” katanya lagi.
Pada masa yang sama jelas beliau lagi, PETRONAS Dagangan Berhad turut menyumbang 80 unit gas cecair sebagai pelengkap kepada keperluan memasak.
Sehubungan itu, Rohani memberitahu, Kerajaan Kelantan menzahirkan penghargaan atas usaha PETRONAS dalam membantu mangsa banjir yang terjejas teruk di beberapa kawasan di negeri ini.
“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan PETRONAS dalam membantu rakyat Kelantan yang menghadapi dugaan banjir. Kerjasama seperti ini amat penting dalam meringankan beban mangsa,” ujar Rohani. – HARAKAHDAILY 7/1/2025
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan