Polis ada kuasa periksa telefon bimbit individu disyaki - KPN


Polis ada kuasa periksa telefon bimbit individu disyaki - KPN
Oleh Nor Azizah Mokhtar - Januari 15, 2025 @ 8:51am
Polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang itu disyaki melakukan kesalahan. - 
KUALA LUMPUR: Polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang itu disyaki melakukan kesalahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata hak itu termaktub dalam Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang.

Perkara itu dibenar berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Seksyen 249 AKM memberi kuasa untuk mendapatkan akses kepada data berkomputer, termasuk telefon bimbit.

"Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa untuk mengakses telefon bimbit yang ditakrifkan juga sebagai data berkomputer, ketika membuat pemeriksaan ke atas seseorang yang disyaki melakukan apa jua kesalahan jenayah.

"Namun, kuasa memeriksa ini diberikan kepada pegawai polis tidak rendah daripada pangkat inspektor," katanya ketika dihubungi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular menunjukkan seorang individu mempertikai tindakan polis menahan seseorang dan memeriksa telefon bimbit.

Mengulas lanjut, Razarudin menjelaskan dalam undang-undang lain pula, Seksyen 20(g) Akta Polis memberi kuasa kepada pegawai polis di mana seseorang itu perlu mempamerkan maklumat apabila diminta oleh pegawai berkenaan.

"Justeru, tiada pihak boleh mempertikaikan kuasa memeriksa telefon bimbit ketika sekatan jalan raya, namun ia mesti dibuat secara berhemah dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, bukan sesuka hati tanpa sebab munasabah.

"Selain itu, Seksyen 292 Kanun Keseksaan boleh digunakan ketika memeriksa telefon bimbit sekiranya hasil pemeriksaan menjumpai bahan-bahan lucah dan ia merupakan suatu kesalahan boleh ditangkap tanpa waran.

"Begitu juga jika terdapat aplikasi judi dalam talian dalam telefon bimbit seseorang, ia adalah satu kesalahan jenayah boleh ditangkap tanpa waran mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Razarudin berkata, pemeriksaan tanpa waran boleh dilakukan jika pegawai itu mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa kelewatan dalam memperoleh waran geledah akan menjejaskan penyiasatan, seperti bukti dirosakkan atau dimusnahkan pemiliknya.

"Dalam kes sedemikian, pihak polis boleh mengambil telefon berkenaan terlebih dahulu untuk diperiksa kemudian, dan keengganan memberi kerjasama boleh menyebabkan seseorang itu ditahan kerana menghalang tugas polis.

"Telefon bimbit diambil daripada orang awam harus untuk tujuan siasatan yang relevan dengan sesuatu kes yang disiasat atau mengesyaki suatu kesalahan telah dilakukan seseorang.

"Kesimpulannya, polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit seseorang jika ada laporan polis dibuat terhadapnya, ada siasatan dijalankan terhadapnya ataupun polis mengesyaki orang itu terbabit perlakuan jenayah, selari dengan Seksyen 3(3) Akta Polis berkaitan peranan dan tanggungjawab polis," katanya.

Ulasan