Produk tiruan ancam survival batik



Produk tiruan ancam survival batik
PERBANDINGAN antara batik Terengganu (kanan) yang dicanting menggunakan blok lilin dengan batik dari negara jiran yang dihasilkan menerusi cetakan komputer yang mudah luntur.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
8 Januari 2025, 6:30 am

KUALA TERENGGANU: Kebanjiran batik tiruan ke pasaran negeri ini yang semakin berleluasa mengancam kelangsungan pengusaha dan warisan asli batik Terengganu yang terkenal dengan kehalusan seni, mutu serta kualitinya.

Lebih malang, ramai pengguna masih keliru dengan menganggap batik adalah istilah untuk corak rekaan di atas fabrik, sedangkan ia merujuk kepada kain dilukis atau diterap dengan lilin dan dicelup menggunakan kaedah buatan tangan sepenuhnya.

Ketika ini, batik tiruan semakin banyak dibawa masuk dari negara luar seperti Thailand, Indonesia dan China yang memberi saingan kepada produk tempatan kerana dijual pada harga lebih murah.
Sebagai contoh, sehelai kain batik sarung tiruan dijual dalam lingkungan harga RM12 hingga RM15 berbanding batik asli Terengganu antara RM30 hingga RM45 juga menyebabkan permintaannya sentiasa meningkat di pasaran.

PERBEZAAN KETARA

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha-Pengusaha Batik Negeri Terengganu, Shafei Ghazali berkata, hasil lukisan batik asli Terengganu yang lebih halus dan berseni mampu mencuri perhatian pengguna untuk cenderung memilihnya berbanding batik tiruan.

Katanya, banyak perbezaan antara batik asli Terengganu dan produk tiruan terutama dari segi pemilihan fabrik, penggunaan lilin dan nilai estetikanya.


“Batik asli Terengganu menggunakan kain kapas 100 peratus berbanding kain campuran nylon dan polyester untuk batik tiruan yang menyebabkan pemakai tidak selesa jika menggayakannya dalam tempoh lama, apatah lagi ketika cuaca panas.

“Batik tiruan juga dihasilkan dengan mesin, bukan seperti batik asli Terengganu yang melalui pelbagai proses seperti melukis, mencanting, mewarna, merebus serta menjemurnya dengan hanya menggunakan kudrat manusia.

“Proses yang teliti ini menyebabkan kos pengeluarannya tinggi dan perlu dijual dengan harga yang lebih mahal berbanding batik tiruan yang dihasilkan secara pukal melalui mesin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau tidak menyalahkan tindakan peniaga yang menjual batik tiruan kerana memahami ia adalah adat dunia perniagaan, selagi masih ada tawaran dan permintaan.

“Cuma yang persatuan kesal kerana masih ada segelintir peniaga tidak jujur dengan pembeli dan tidak memberi tahu perkara sebenar kerana bimbang pembeli akan mempertikai kualiti batik asli Terengganu sekiranya terbeli batik tiruan,” katanya.

ENGGAN MERINTIH

Walaupun sudah banyak luahan dan rintihan pengusaha batik di Terengganu yang bimbang ancaman batik tiruan ini bakal memberi implikasi besar terhadap produk kraf warisan itu, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian yang konkrit untuk mengatasinya.

Menyedari hakikat itu, ramai pengusaha batik asli enggan lagi meratap nasib dan bangkit menghasilkan lebih banyak produk berkualiti tinggi dalam mempertahan produk kraf warisan tersebut.

Pemilik Fadhizan Al Zahra Batik & Songket, Muhammad Fadhil Ali Affandi, 36, berkata, dia dan rakan seperjuangan yang lain sedar mereka tidak boleh bersaing dengan produk tiruan, sebaliknya perlu berada dalam kelas tersendiri.

“Batik asli Terengganu ada kelompok peminatnya yang sangat menghargai seni pembuatan batik dan sanggup membayar dengan harga yang berbaloi, setanding kualiti.

“Kami juga semakin berani bereksperimen dengan membuat lakaran corak baharu yang lebih moden dan segar untuk memikat hati pelanggan. Gabungan pelbagai teknik selain lilin, seperti tanah liat juga adalah inisiatif kami sebagai inovasi baharu dalam penghasilan batik,” katanya.

PENJUAL JANGAN TAMAK

Muhammad Fadhil juga mengingatkan peniaga lain agar tidak tamak menjual batik tiruan semata-mata mengejar keuntungan kerana sikap itu akan membunuh industri batik asli di Terengganu.

Katanya, mana-mana peniaga bebas menjual apa sahaja produk namun perlu jujur dengan kualiti yang sebenar.

“Masih ramai pembeli terutama generasi muda dan pelancong dari luar yang belum tahu perbezaan antara batik tiruan dan batik asli Terengganu. Di sini sebenarnya peranan peniaga untuk memberi penerangan mengenai ciri-ciri kedua-dua produk itu dan kemudian, terpulang kepada pembeli untuk membuat pilihan,” katanya.

INISIATIF PENGGIAT INDUSTRI PELIHARA BATIK

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin berkata, syarikatnya mewujudkan satu segmen khas demonstrasi pembuatan batik asli sebagai pendedahan kepada pengunjung mengenai produk kraf tersebut.

Beliau berkata, Noor Arfa juga melantik ramai tenaga pengajar untuk melatih generasi baharu yang berminat menceburi industri ini agar tidak tenggelam di arus zaman.

“Noor Arfa sedia membimbing usahawan batik dengan jenama mereka sendiri agar hasil seni ini kekal menjadi warisan negara, khususnya di Pantai Timur,” katanya.

Menurutnya, Noor Arfa komited berkongsi ilmu mengenai batik asli Terengganu kepada pelanggan untuk memudahkan mereka membuat pilihan yang tepat.

“Batik tiruan akan sentiasa ada di pasaran, namun batik asli Terengganu mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Pelanggan yang ada keinginan untuk memartabatkan batik asli, pasti akan memilihnya berdasarkan ciri-ciri istimewa dan nilai estetika yang ada.

“Walaupun harganya agak mahal namun seperti kata pepatah ‘alah membeli menang memakai’ untuk memberi kepuasan kepada mereka dalam menggunakan batik asli Terengganu yang lebih selesa,” katanya.

DAFTAR PATEN BAWAH MyIPO

Sementara itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, penjualan batik tiruan boleh diambil tindakan jika pemilik rekaan sebenar mendaftarkannya dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang memalsukan atau membuat produk tiruan yang menyerupai produk asli kerana mengelirukan pengguna.

“Setakat ini, belum ada mana-mana pengusaha batik asli yang tampil membuat aduan mengenai paten produk yang diciplak.

“KPDN sangat menyarankan mereka segera melindungi hak cipta rekaan ini sebagai langkah pertama untuk membanteras penjualan batik tiruan,” katanya.-UTUSAN

Ulasan