
Sedekad PAN, sila bercermin diri untuk bergerak ke gerbang jasa!
January 27, 2025
TIDAK semena-mena parti yang ditubuhkan untuk menguatkan dukungan kepada DAP ini sekali lagi berpesta pora menyerang PAS dalam konvensyen mereka di Klang, Selangor. Penyakit gila talak tidak pernah kebah semenjak parti serpihan PAS ini ditubuhkan sedekad lalu pasca Muktamar PAS kali ke-61 di Kuala Selangor.
PAS menjadi subjek penting setiap kali himpunan mereka, bahkan kritikan pendokong mereka di medsos terhadap PAS cukup membayangkan keprihatinan mereka terhadap harakatul ummah yang telah mencapai usia 74 tahun itu.
Kali ini PAS dituduh ekstremis, menunggang isu agama serta kaum untuk kekal relevan dalam persada politik tanah air.
Pimpinan serta ahli PAN jangan terlupa, untuk kekal merengkuh dukungan umat Islam di negara ini, bahtera politik dakwah PAS telah merempuh gelora badai selama 74 tahun, dengan mengadakan pelbagai pendekatan di sektor siasah, dakwah dan tarbiah.
Kebijakan politik PAS dipandu oleh Majlis Syura Ulama di mana setiap keputusan jamaah disaring dan ditapis penuh ketelitian.
Di mana suara ulama serta asatizah PAN? Beranikah mereka menentang suara DAP atau paling kurang membetulkan tindakan Jawatankuasa Pusat Pan?
Masyarakat Islam melihat PAN tiada hala tuju dan tiada keberanian menjaga Islam serta bangsa Melayu. Sokongan orang Islam hanya dibawa lima peratus kepada PAN, mereka hanya menang di kawasan majoriti penyokong DAP seperti konstitusi Mohamad Sabu bertanding.
Begini Abang Mad, jika yakin PAN boleh menang di kawasan jantung hati orang Melayu, sila Presiden PAN bertanding di Kelantan, Terengganu atau Kedah dalam PRU 16 nanti. Hilang deposit hampirlah pasti, telanlah hakikat itu walaupun pahit.
Kenyataan Mohamad Sabu, PAN akan memenangi belasan kerusi Dun di Kelantan dalam PRU 16 adalah fatamorgana! Asasnya, kerana mereka mulai memenangi di DUN Kota Lama dalam PRU yang lalu serta telah mengatur strategi khusus untuk memenangi masyarakat Kelantan. DUN Kota Lama dengan majoriti bukan Melayu di tengah bandar Kota Bharu bukanlah parameter kekuatan sebenar PAN.
Orang Kelantan, bijak berpolitik dengan menjaga kepentingan agama dan bangsa, apatah lagi perpuakan dalam PAN Kelantan jelas dihidu peminat politik Tanah Serendah Sekebun Bunga itu. Saya tertanya-tanya di manakah Husam Musa, Mohamad Husain, serta sesepuh Pan Kelantan yang lain? Semakin kuatkah pengaruh mereka selepas meninggalkan PAS sepuluh tahun yang lalu? Semakin membesarkah khalayak kuliah medan ilmu anjuran mereka?
Sebelum PRU 15, ada pimpinan PAN yang mentertawakan kenyataan Presiden PAS bahawa parti Islam ini akan menjadi king maker dalam politik Malaysia, namun hari ini mulut mereka terkunci dan tersipu malu. Parti lebai dapat memerintah empat buah negeri serta mempunyai Ahli Parlimen teramai, terus mengakar sokongan termasuk entiti Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang menjaring sokongan bukan Islam negara ini.
PAS terus dihujani ahli-ahli baru terutama kelompok anak muda, sebagai indikator bahawa masa depan harakatul ummah ini sangat benderang. Mesyuarat PAS setiap bulan meluluskan ribuan ahli baru mendaftarkan diri sebagai pendokong PAS kerana melihat hala tuju PAS yang jelas.
Sejarah penubuhan PAN berkait rapat dengan keobsesan kuasa, ditolak oleh perwakilan PAS dalam Muktamar PAS Pusat di Kuala Selangor tahun 2015.
Pergolakan PAS 2015 menatijahkan PAS kehilangan sebahagian ahli, bermula dengan 18 orang pemimpin yang tewas dalam Muktamar kali ke 61 maka mereka menamakan diri sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), seterusnya membeli Parti Pekerja dan menjenamakannya sebagai Parti Amanah Negara (PAN).
Kemasukan en bloc teman-teman NGO ber-DNA IRC, JIM dan IKRAM, ahli-ahli PAS yang terkeliru serta kempen agresif parti sekutu DAP itu sedikit sebanyak memberi kesan ke atas PAS.
Kemenangan PH dalam PRU 14 seolah-olah memberikan nyawa kepada mereka seketika. Teringat penulis dengan sikap membusung dada pemimpin PAN, bukan sekadar di media sosial, malah di alam nyata juga.
Sedekad yang lalu di saat krisis dalam PAS, pemimpin-pemimpin kononnya di label progresif ini mencanangkan kepada ahli-ahli PAS bahawa Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi serta ulamak-ulamak PAS cenderung untuk bersatu dengan Umno. Umno dilihat bak anjing buruk kepala yang sangat hina. Hujah inilah menyebabkan mereka meninggalkan PAS, namun kini semua rakyat dapat melihat bahawa demi kuasa, Pan akan melakukan apa sahaja tindakan. Bersama berpelukan dengan Umno yang mereka hina serta disenandungkan “ho.. ho ya hoii.. penyamun” sebelum PRU 15.
Paling membingungkan, justifikasi penerimaan pimpinan utama PAN kepada Umno ialah kerana ulamak PAS yang mendoktrin mereka akan kebejatan Umno dalam dekad 80an.
Sebelum ini, selama 22 bulan mereka di tampuk dan koridor kuasa fasa pertama, masyarakat Islam negara ini melihat betapa lemahnya pemimpin Pan menjaga Islam dan umat Islam. Mereka seolah-olah adalah rubber stamp house kepada pemimpin-pemimpin DAP; pola simbiosis ini difahami kerana latar sejarah penubuhan mereka sejak 2015.
Sejak mereka berkuasa lagi, disedari sedikit demi sedikit bekas penyokong PAS mula tawaquf dalam aktiviti kerajaan PH dan mula bertanya khabar untuk pulang bersama PAS. Ramai yang tersedar budaya berorganisasi PAS tidak sama dengan mana-mana parti. PAS bukan sekadar memburu kuasa untuk melaksana dan menjaga Islam namun program amal tarbawi yang berjalan ke atas ahli-ahli mereka.
Bukan untuk menghina kalian, siapakah figura Pan yang boleh diletakkan sebagai ikon murabbi? Nol, melainkan masih bergayut pada imej Almarhum Dato’ Seri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Penulis tertarik dengan penjelasan anakanda Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Nik Abduh tentang pandangan Almarhum terhadap DAP di akhir hidup Tuan Guru.
Fasa kedua diberi kuasa juga mulai November 2022, pimpinan PAN dilihat tidak kompeten dalam kabinet. Bersama dalam kerajaan ‘Perpaduan’ PH-BN, tokoh utama Pan menggalang jawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Pelbagai isu menyelimuti portfolio tersebut sehingga menjadi punching bag kepada kerajaan Madani. Masyarakat petani paling terkesan dengan pelbagai polisi yang merugikan.
Impak politik untuk PRU 16, PAN serta parti gabungan PH-BN akan ditolak oleh masyarakat terbanyak negara ini, mungkin hanya disokong masyarakat urban yang berfikrah pragmatis liberal.
Bagi kami, jika mempertahankan Islam dan nasib orang Melayu dianggap sebagai ekstremis, maka biarlah gelaran itu ditampalkan pada kami, perjuangan ini kami akan dokong sehingga mati, bahkan kami bangga majoriti kaum Muslimin tetap bersama kami.
Enam bulan terakhir ini juga semakin galak ahli-ahli PAN mula bertanya khabar untuk kembali berpaut dengan PAS, dari tanah Selatan Johor sehinggalah ke bumi Sabah.
Dalam serangan menggila serangan rakyat di medsos serta di lapangan terhadap kegagalan kerajaan Madani yang didominasi oleh DAP, maka ahli-ahli mereka mula menyedari apakah matlamat perjuangan PAN serta sikap pemimpin mereka menjaga keutuhan DAP.
Perjuangan untuk tembolok peribadi atau untuk menegakkan Islam, maka kita semua nampak dengan benderang hala tuju PAN di masa mendatang.
Buat kawan-kawanku ahli PAN yang sedang berkonvensyen di Klang Selangor, cubalah mencermin diri. Kurangkanlah sibuk kalian mencela PAS dengan naratif ekstremis, khawarij, penunggang agama serta lain-lain konotasi negatif.
Gerbang harakatul ummah ini terbuka buatmu! Usahlah merasa malu dan tertampar kecewa. Pintu markas tarbiah tetap ceria dengan program usrah, iftar jamaie, liqa fikri, daurah kitab dan pelbagai program.
Usah terkeliru memilih kerana kehidupan ini sangat singkat untuk bereksperimen! Sudah sedekad kalian di medan operasional, apa sumbangan kalian untuk menjaga kepentingan Islam dan nasib orang Melayu? Setakat ini, nol!
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 26/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan