Tak benar jualan arak di kawasan majoriti Muslim



Tak benar jualan arak di kawasan majoriti Muslim

PBT di Kedah
January 27, 2025


ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kedah, kekal dengan ketetapan tidak membenarkan penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam, sebagaimana diputuskan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihaknya juga tidak bersetuju dengan saranan Nga Kor Ming agar status quo penjualan arak di kawasan majoriti Muslim dikekalkan

“Kedah mempunyai pandangan sendiri dan telahpun bersetuju untuk tidak membenarkan jualan arak di kawasan penduduk Muslim.

“Tetapi kita membenarkan minuman beralkohol itu dijual di premis kawasan yang majoriti penduduk bukan-Islam, tetapi dalam jumlah yang terhad,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Kata Mansor, semua pihak sedia maklum, minum arak bagi orang Islam adalah haram dan tiada keperluan bagi pihaknya membenarkan ia dijual di premis-premis majoriti penduduk Muslim.

Lagipun tambahnya, arak tidak mendatangkan manfaat kepada tubuh badan dan kesihatan, sebaliknya membawa kemudaratan serta boleh mengundang pelbagai masalah lain.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar PBT mengekalkan status quo jualan arak di kawasan majoriti Muslim, melalui kenyataannya yang siarkan semalam.

Dalam kenyataan tersebut, Nga Kor Ming berkata, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan kaum serta mengelak menjadi sentimen politik.

“Dalam hal ini kita nak jaga keharmonian semua. Jadi bagi saya, kita akan kekalkan status quo waktu ini kerana tiada isu pun. Mereka yang tidak boleh minum, jangan belilah dan kita pun tidak boleh larang orang yang boleh minum kerana itu hak dia,” katanya.

Menurut Mansor, walaupun kenyataan itu dikeluarkan oleh menteri berkenaan pada satu majlis di Ipoh, Perak, namun hukum haram meminum arak bagi orang Islam tetap sama walau di mana sahaja di dunia ini.

“Banyak lagi benda lain yang lebih baik serta boleh dimanfaatkan di kawasan penduduk orang Islam ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil.

Dalam pada itu tegasnya, walaupun Kedah membenarkan arak dijual di premis-premis kawasan majoriti bukan-Islam tetapi ia bukanlah satu perkara yang wajib kepada mereka.

Ujar beliau, ramai dari kalangan orang bukan-Islam yang tidak minum arak atas sebab kesihatan dan kemudaratan minuman tersebut. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

Ulasan