
Tolak jualan arak kehendak warga, Nga tidak faham?
January 28, 2025
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membantah keras terhadap pengekalan dasar sedia ada penjualan arak di premis dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang majoriti penduduk beragama Islam.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa menegaskan bahawa dasar itu tidak wajar dikekalkan dan diteruskan kerana bertentangan dengan dasar dan prinsip Islam serta memberi impak negatif terhadap keharmonian dan keselamatan masyarakat Muslim di negara ini.
“Sejak sekian lama, Islam mengajar dan melarang umatnya terhadap pengambilan arak kerana boleh merosakkan akal, fizikal dan sosial.
“Menjual arak di kawasan majoriti Muslim bukan sahaja tidak menghormati ajaran agama, malah berpotensi meningkatkan masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, kemalangan jalan raya dan keruntuhan akhlak.
“Selain itu, ia juga boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat yang telah lama terbina,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tadi.
Mohd Zai berkata, keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu merupakan langkah mundur yang tidak sensitif terhadap sensitiviti agama dan budaya masyarakat Islam.
“Kami percaya bahawa setiap dasar yang dibuat seharusnya mengambil kira suara majoriti serta kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan masyarakat.
“Di dalam negara yang berbilang bangsa dan agama ini, adalah penting untuk mewujudkan polisi yang menghormati nilai-nilai agama, moral dan adat resam penduduk setempat.
“Maka, pemimpin kerajaan seharusnya faham kedudukan dan prinsip Islam dalam perlembagaan serta kehendak dan ajarannya,” katanya.
Justeru, UMMAH mendesak agar kerajaan dan pihak berkuasa tempatan membatalkan pelaksanaan dasar itu dan mencari penyelesaian yang lebih selaras dengan nilai-nilai Islam serta kehendak rakyat.
“Kami juga menyeru agar suara-suara umat Islam didengari dan diberi pertimbangan dalam membuat dan melaksanakan sesuatu dasar yang melibatkan kepentingan umum.
“Kami berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera untuk memastikan dasar ini tidak diteruskan demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat, khususnya di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam,” katanya.
Terdahulu, pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.
Media melaporkan, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan. – HARAKAHDAILY 28/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan