UMMAH seru rakyat terus bersatu tegak keadilan, integriti
January 6, 2025
Mohd Zai Mustaffa
PUTRAJAYA: Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa, menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu menegakkan keadilan dan integriti susulan keputusan mahkamah yang dijangka diumumkan hari ini.
Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai ujian besar kepada sistem pentadbiran dan keadilan negara.
“Alhamdulillah, hari ini kita menyaksikan rakyat daripada pelbagai latar belakang parti, termasuk NGO, hadir untuk mengikuti perkembangan keputusan mahkamah.
“Ia adalah keputusan yang sangat penting, mungkin sebesar maknanya kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di pintu masuk belakang Istana Kehakiman di sini hari ini.
Beliau menjangkakan keputusan yang bakal diumumkan akan membawa makna besar, bukan hanya dari segi keadilan tetapi juga dalam menunjukkan bahawa integriti sistem pentadbiran negara masih kukuh.
Konspirasi kerajaan sembunyi titah Diraja
Menurut Mohd Zai, sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada rakyat, ia secara tidak langsung mendedahkan konspirasi kerajaan yang didakwa cuba menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Jika benar ada usaha menyembunyikan titah Diraja, ia satu tindakan yang sangat jelik kepada masyarakat. Kami bercadang membuat laporan polis secara beramai-ramai terhadap sistem pentadbiran negara yang tidak telus ini,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong bukan perkara biasa, malah melibatkan kepentingan utama negara.
“Ini bukan arahan kecil, ia melibatkan Majlis Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Perbuatan menyembunyikan titah ini pasti dilakukan oleh individu tertinggi dalam kerajaan, bukan pegawai awam atau menteri biasa,” katanya.
Keutamaan kepada keadilan rakyat
Mohd Zai menjelaskan bahawa perjuangan yang diketengahkan UMMAH bukan sekadar untuk individu tertentu, tetapi demi memastikan keadilan dinikmati semua rakyat.
“Ini bukan semata-mata soal individu seperti (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak. Perjuangan ini adalah mengenai memastikan keadilan, integriti, dan ketelusan ditegakkan untuk semua. Rakyat biasa juga berhak mendapatkan keadilan jika berdepan situasi seperti ini,” katanya.
Seruan kepada pihak berkuasa
Beliau turut menyeru pihak polis agar tidak tunduk kepada tekanan daripada kerajaan dan memastikan keselamatan awam diberi keutamaan.
“Saya percaya pihak polis tidak mahu menjadi alat kerajaan. Ketua Polis harus memastikan pasukan keselamatan tidak digunakan untuk kepentingan tertentu. Jika rakyat bangkit, kerajaan ini akan tumbang, dan polis harus bersedia berkhidmat kepada kerajaan baharu,” tegasnya.
Penyatuan rakyat Malaysia
Mohd Zai melihat penyatuan rakyat Malaysia sebagai pencapaian penting dalam isu ini.
“Bukan hanya penyatuan Melayu, tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhan. Perjuangan ini melangkaui politik dan kaum. Semua rakyat ingin keadilan ditegakkan,” katanya.
Orang ramai dilihat berkumpul di hadapan mahkamah dengan penuh harapan, menantikan keputusan yang bakal diumumkan secara rasmi.
Mohd Zai percaya keputusan tersebut akan menjadi penanda aras kepada masa depan sistem pentadbiran negara. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan