Walimah anak Sanusi meriah walau di markas PAS


Walimah anak Sanusi meriah walau di markas PAS
January 26, 2025

MAJLIS walimatul urus puteri sulung Menteri Besar Kedah, Nurul Fatihah dan pasangan Muhammad Luqman Al-Hakim Yusoh berlangsung meriah di Markas PAS Kawasan Sik, Sungai Pau, semalam.

Kemeriahan bahkan tidak hanya dirasai pada hari kejadian, sebaliknya dua tiga minggu sebelumnya, bahang telah terasa dengan pelbagai persiapan dibuat oleh petugas parti yang setia.

Seawal jam 11:30 pagi, majlis yang dilangsungkan itu menerima keberangkatan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bersama Raja Muda dan Puan Raja Muda serta Raja Temenggung yang pastinya menyerikan lagi majlis.

Sehingga jam 5:00 petang tetamu masih bertali arus memasuki pekarangan tersebut, ingin bersama meraikan kenduri sambut menantu pertama pemimpin yang dikasihi rakyat itu.


Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh berseri dengan persalinan serba hijau, juga tidak menang tangan melayan dan menyambut tetamu serta pengunjung yang datang.

Tidak hanya dihadiri para kenamaan, pemimpin, Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, ketua-ketua serta kakitangan jabatan dan agensi kerajaan, tetapi rakyat pelbagai lapisan.

Majis tersebut juga dihadiri tokoh agama tersohor, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Jafri Mahmood Abu Bakar, serta Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang, selain Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali dan lain-lain.

Pelbagai menu disediakan kepada tetamu, antaranya nasi talam, nasi daging gulai riyas pisang, daging rebus, ayam masak merah, bihun sup, koew teow kerang, cucur udang, laksa, apam balik, ais krim, sengkuang calit dan aneka minuman balang.

Tetamu jemputan yang dianggarkan seramai 30,000 orang bukan sahaja dari negeri Kedah sebaliknya rakan taulan, sanak saudara dari luar Kedah.

Kenduri rai terima menantu pertama itu dikendali serta dibantu hampir 1,000 orang tenaga pembantu, termasuk ‘makcik-makcik bawang’ yang setia mengupas, mengiris, memotong bahan-bahan masakan sejak petang semalam dan juga sukarelawan yang memberi khidmat pada hari ini.

Termasuk juga ‘pakcik-pakcik gedohok’ (dapur) yang bertungkus-lumus melapah, memotong daging dan menyediakan menu utama untuk hidangan para tetamu.

Majlis itu juga diturut dibantu warga kerja dari PAS Kawasan Sik, Dewan Pemuda dan Muslimat, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Jeneri dan Belantik dan PAS Cawangan seluruh Sik.

Lebih mengembirakan, ADUN Jeneri itu lebih memilih mengadakan majlis kenduri di markas PAS, sedangkan beliau mampu mengadakannya di tempat yang mewah dan baik prasarananya.

Sungguhpun ia diadakan di premis parti, tetapi tetap dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat dan kaum, yang pastinya mempunyai kefahaman politik berbeza.

Kenduri itu juga, turut meraikan satu lagi pasangan pengantin iaitu anak saudaranya, Nur Jamalahtul Husna Mohd Fadzuli dan pasangan, Abdul Wafi Abdul Halim.

Terdahulu kelmarin, Sanusi dan isteri sendiri melapangkan masa bersama petugas di dapur mengadakan persediaan masakan dengan beliau sendiri menyembelih dua lembu dari beberapa ekor untuk kenduri ini. – HARAKAHDAILY 26/1/2025

share & sebarkan:

Ulasan