Wawancara pertama dan terakhir dengan Mansor Adabi



Wawancara pertama dan terakhir dengan Mansor Adabi
NATRAH (duduk kanan) ketika melawat keluarga ibu angkatnya, Che Aminah di Terengganu pada Hari Aidilfitri tahun 1997.
Oleh FATINI YAAKOB
19 Januari 2025, 6:00 pm

Saya kembali ke pejabat dan mengatur pula perjalanan ke Singapura. Saya mencari orang yang rapat dengan Mansor Adabi bekas suami pertama Natrah. Indahnya bekerja di DBP – senarai penulis dapat dikenal pasti dengan mudah.

Penulis terkenal Singapura Pak Suratman Markasan kenal baikdengan Mansor Adabi. Pak Suratman meminta saya tinggal di rumahnya daripada di hotel, untuk memudahkannya membawa saya berjumpa Mansor Adabi.

Pertemuan pertama saya dengan Mansor Adabi berlaku sekitar pukul 3 petang 14 Oktober 1988 di pejabatnya The Malayan Law Journal di tengah bandar Singapura. Gugup saya melihat beliau pertama kali, walaupun beliau telah berumur 60 tahun ketika itu. Gaya sopannya bercakap dan bercerita dan ikhlasnya beliau menyambut kami menjadikan saya terfikir tentang Natrah. Patutlah

Natrah mengagumi Mansor seumur hidupnya!


Saya bertanya banyak perkara dengan Mansor termasuk soalan cepumas ini – “Benarkah bapak menyintai Natrah? Bukan kahwin paksa, seperti tulisan akhbar pro penjajah?”

Terasa brutal soalan saya, untuk beliau yang demikian sopan santun.Beliau tersenyum sambil menoleh pada Pak Suratman dan menjawab “…yalah..cinta kita zaman dulu bukan macam sekarang… kita tidaklah bercakap-cakap… kita tidaklah lafazkan kasih cinta kita..”

Saya tersenyum. Cukuplah sebaris ini menunjukkan mereka suka sama suka, bagi menafikan fitnah akhbar propenjajah bahawa mereka dipaksa bernikah oleh Che Aminah.

Setelah dua jam di pejabat The Malayan Law Jurnal Pak Suratman meminta kita berhenti dulu dan menyambung wawancara pada esok hari. Sebelum balik Pak Mansor Adabi menyerahkan pada saya tiga buah fail.

Terkejut saya. “Saya serahkan fail-fail ini semua kerana puan dari Dewan Bahasa dan Pustaka”.

Saya terkejut dan menyambut fail-fail itu. “Terima kasih bagi pihak DBP – tapi kenapa bapa beri kepada Dewan?” beliau tersenyum dan menjawab “Bacalah dulu..”

Sepanjang malam saya terhenyak membelek dan membaca isi kandungan fail-fail itu. Terbit rasa terharu, ada ketika sedih sangat. Satu fail adalah mengenai surat menyurat Mansor dengan Natrah yang ketika itu telah dibawa balik ke Belanda.

Dua buah fail lagi mengenai butiran duit ringgit penerimaan Tabung Mahkamah Natrah – hasil derma orang ramai untuk mereka membiayai bayaran mahkamah.

Saya tertidur dengan fail (untuk mengetahui perinciannya sila baca buku Natrah – Natrah: Cinta, Rusuhan dan Airmata – Penerbit UTM Press, 2010)

Tiba-tiba saya dengar pintu bilik saya diketuk dengan kuat. Terdengar suara Pak Suratman. Saya dengan terpisat-pisat bangun membuka pintu.

“Fatini, orang yang kamu interview semalam dah meninggal” Meninggal? Mana boleh dia meninggal, saya belum habis interview dia!

Terpaku kaku saya di bilik itu. Ya Allah hanya Engkau yang mengetahui segalanya. Mengapa, mengapa, mengapa…

Saya menatap wajah jenazah Mansor Adabi di rumahnya di Fideleo Street dengan rasa terkejut yang amat sangat. Dalam hati saya tertanya-tanya sebab kematiannya. Timbul juga rasa bersalah – adakah kerana soalan-soalan saya semalam yang menjadikan beliau dalam tekanan.

Mengimbau 75 tahun sejarah Natrah
Sejarah Natrah adalah kisah seorang anak kecil Belanda, bernama Huberdina Maria Hertogh @ Bertha yang dijadikan anak angkat oleh ibu Melayu bernama Che Aminah.
Natrah anak malang ini menjadi subjek penting kes mahkamah kerana tuntutan hak penjagaannya daripada ibu kandung Belandanya bernama Adeline Hunter dengan Che Aminah pada tahun 1950 di Singapura.
Kes mahkamahnya menjadi lebih gempar apabila berlaku rusuhan digelar Singapore Riots1950. Rusuhan ini berlaku gara-gara provokasi akhbar pro penjajah seolah-olah meraikan kemenangan mendapatkan semula Natrah balik ke Belanda. Ikuti tulisan oleh Puan Sri Fatini Yaacob yang bertanggungjawab membongkar semula kisah tragis ini. Fatini ialah bekas Wartawan majalah DBP yang mewancara Natrah di Nevada, Amerika Syarikat dan membuat penyelidikan sejarah ini (1988-1989).
Beliau kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang diasaskan sebagai pemegang amanah Sejarah Natrah.

Adakah kerana saya membawa balik kenangan yang mahu dilupakannya? Pak Suratman menenangkan saya.

“Terimalah takdir Allah. Allah lebih tahu. Dia pergi bukan kerana soalan-soalan awak, bukan pun kerana dia, Allah yang mahu mengambil dia. Bersyukurlah dapat juga kita interview dia.”

Allahuakbar…demikian takdir Mu ya Allah. Takdir Allah ini terus mematikan niat saya untuk pertemukan mereka berdua. Barangkali juga Allah menjawab doa Mansor sekiranya tiga buah fail itu dapat diserahkan kepada orang/badan yang selayaknya, maka dia mohon kembali kepada Allah.

Barangkali beliau tidak mahu terlibat lagi dengan sejarah baharu antara beliau dan Natrah selepas pertemuan saya dengan Natrah kelak.

Dan barangkali juga takdir Allah ini untuk maslahah lebih jauh besar lagi daripada sekadar peribadi mereka berdua. Esoknya semua akhbar melaporkan kematiannya dan kisahnya dengan Natrah bangkit semula.

Dua orang saksi besar sejarah Natrah, Che Aminah dan kini Mansor Adabi telah tiada. Tinggal hanya dua orang saksi besar lagi untuk saya temui – Natrah dan Ahmad Ibrahim peguamnya.

Saksi-saksi lain juga mudah-mudahan akan saya temui sepanjang perjalanan mencari Natrah. – UTUSAN

Ulasan