800 penghuni setinggan tepi Sungai Perak rayu penempatan lain



800 penghuni setinggan tepi Sungai Perak rayu penempatan lain
KEADAAN rumah setinggan tepi Sungai Perak yang sebahagian besarnya dibina atas rizab sungai selain berhadapan pelbagai isu terutama pembuangan sampah dan aspek keselamatan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Oleh AIN SAFRE BIDIN
5 Februari 2025, 7:35 am

TELUK INTAN: Di sebalik kepesatan pembangunan bandar Teluk Intan, terdapat penempatan se­tinggan di tepi Sungai Perak yang wujud sejak berpuluh tahun lalu.

Penempatan itu melibatkan Kampung Esso, Kampung Terengganu, Kampung Beca, Kampung Kilang Padi dan beberapa kampung lagi yang dianggarkan 800 buah rumah yang dibina di atas tanah rizab sungai.

Tinjaun Utusan Malaysia mendapati penempatan rumat setinggan di situ sebahagian besarnya rumah yang sudah ­usang, berdinding papan, malah ada rumah yang hanya berlantaikan tanah dan papan.

Kewujudan rumah tepi sungai itu menimbulkan pelbagai isu seperti pembuangan sampah, keselamatan penduduk terutama ketika berlaku banjir dan kesukaran kerajaan menyediakan kemudahan asas kepada mereka.

Penempatan setinggan me­nimbulkan kebimbangan terhadap isu keselamatan kerana kawasan itu terletak di tebing Sungai Perak.

Pembinaan rumah setinggan ini menyukarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sungai se­perti tebing atau menambah atau membaik pulih ban.

Rumah setinggan juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti membuang sampah sarap di Sungai Perak, yang boleh menjejaskan sumber air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Nadzi­ruddin Mohamed Bandi berkata, berdasarkan angka tahun lalu, terdapat 782 rumah di pe­nempatan setinggan itu.

Menurutnya, mereka terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai tanah sendiri dan terpaksa terus menumpang di tanah kerajaan bertahun-tahun lamanya.

Beliau berharap kerajaan memberikan perhatian terhadap penduduk setinggan di bandar ini.

“Saya berharap kerajaan ne­geri membantu penduduk ini dengan memberikan tapak kediaman yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, penduduk di kampung tersebut berkata, mereka mewarisi rumah daripada ibu bapa mereka yang juga tinggal di kampung tersebut.

Jamaluddin Sokur, 68, berkata, dia sudah tinggal di situ sejak dilahirkan lagi kerana tidak mampu membeli rumah di tempat lain.

Menurutnya, rumah yang dihuninya diwarisi daripada ibu bapa yang sudah meninggal dunia.

“Kami bukan keluarga yang senang, hanya ada tapak rumah ini sahaja, itu pun tanah rizab JPS.

“Sebelum ini tanah kena bayar lesen Pendudukan Sementara (TOL) RM60 setahun namun sekarang tidak lagi dikenakan bayaran selagi belum ada pembangunan di sini.

“Kalau ikutkan kami malu dan tidak mahu tinggal di kampung setinggan. Kampung kami sering dinaiki air Sungai Perak tapi kami tiada pilihan kerana tidak mampu membeli kediaman lain,” katanya.

Jamaluddin berharap kerajaan membantu mereka mendapatkan kedimanan baharu yang lebih selesa.

“Kami berharap pihak kerajaan dapat menempatkan penduduk di sini di tempat lain se­perti Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau lain-lain skim bantuan perumahan untuk rakyat miskin,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Latifah Wan Chik ,70, meluahkan kebimbangan terhadap nasibnya yang tinggal seorang diri di rumah usang diperbuat dengan papan kayu di kawasan setinggan tersebut.

Menurutnya, sebelum ini dia tinggal bersama anak-anaknya tetapi mereka semua sudah berkeluarga. – UTUSAN

Ulasan