Ada cara supaya Melayu kekal bersatu – Tun M


Ada cara supaya Melayu kekal bersatu – Tun M
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Oleh ASLINDA NASIR
5 Februari 2025, 6:50 am

PUTRAJAYA: Terdapat kaedah terbaik bagi menyatukan parti-parti Melayu yang kini berpecah demi kepentingan bangsa dan agama Islam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyatuan orang Melayu perlu diletakkan sebagai fokus utama supaya bangsa itu tidak terus diperlekeh oleh sesetengah pihak.

Katanya, Islam agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terjejas sekiranya bangsa Melayu berpecah.

“Untuk waktu sekarang apa yang boleh dilakukan adalah semua pemimpin Melayu perlu ketepikan undi parti apa dan siapa calon Perdana Menteri. Kalau seseorang itu mengundi sebagai orang Melayu, insya-Allah boleh bersatu.

“Ada cara kita boleh buat supaya Melayu kekal bersatu. Orang Pas saya lihat sudah boleh mula terima perkara ini. Semua orang Melayu yang mengundi tidak boleh kira dia undi Pas kah UMNO kah, dia kena kira undi dia adalah untuk orang Melayu.

“Semua orang Melayu juga kena ingat, jika orang Melayu kalah, Islam akan terjejas,” kata­nya dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memberi bayangan bahawa kerjasama antara Pas dan UMNO boleh dihidupkan kembali sekiranya presiden sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menerajui kepemimpinan parti tersebut.

Menurutnya, Pas sentiasa ber­sikap terbuka untuk bekerjasama semula dengan UMNO demi menyatukan umat Islam di Malaysia.

Senada kenyataan Tun, Ve­teran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub turut menyokong perkara tersebut dengan meyakini UMNO menerima hasrat tersebut demi kebaikan Melayu dan semua bangsa meskipun parti itu pernah dipermainkan beberapa kali oleh pihak tertentu sehingga Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk sebelum ini menemukan kegagalan.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir turut mengingatkan semua parti politik Melayu perlu kembali kepada asas perjuangan membela nasib orang Melayu dan Islam agar tidak terus ditindas oleh bangsa lain dan mengekalkan status quo Malaysia adalah tanah Melayu.

“Masa saya menjadi Perdana Menteri, saya tahu cara hendak kawal DAP. Apa yang mereka minta, ada yang saya beri, ada yang saya tidak beri. Duit kerajaan hendak sumbang kepada sekolah Cina, itu bukan dasar. Selepas ini mereka minta untuk mempromosi bahasa Cina, bahasa Tamil hendak sama dengan Melayu, isu semua saya tidak buat kerana saya berpegang kepada perlembagaan negara, sehingga ada yang menganggap ini bukan Tanah Melayu tetapi tanah berbilang kaum.

“Kerajaan sekarang tidak berpegang kepada perlembagaan, sebab itu apa yang DAP hendak semua dia dapat sehingga DAP pandang hina pada orang Me­layu sehingga panggil orang Melayu lalat,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melabelkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai ‘lalat’ ketika Naib Pengerusi DAP itu mengambil pendirian enggan melayan cabaran Akmal untuk berdebat berhubung isu kontroversi ‘sandwich ham’.

Kor Ming yang meletakkan dirinya sebagai singa berasakan tidak layak untuk berdebat de­ngan Akmal yang dianggap sebagai ‘lalat’. – UTUSAN

Ulasan