Air Busan larang ‘power bank’ dalam kabin pesawat
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
4 Februari 2025, 6:07 pm
SEOUL: Syarikat penerbangan Korea Selatan, Air Busan tidak akan membenarkan penumpang menyimpan bank kuasa atau ‘power bank’ dalam bagasi yang disimpan di ruang kabin atas pesawat.
Perkara itu diumumkan dalam satu langkah pencegahan hari ini, susulan insiden kebakaran pesawatnya minggu lalu.
Bagasi kabin penumpang yang diperiksa di pintu pelepasan dan didapati tiada ‘power bank’ akan ditandakan sebelum dibenarkan disimpan di ruang penyimpanan atas.
Langkah itu akan bermula pada 7 Februari di laluan percubaan sebelum diperluaskan ke semua penerbangan.
Semua ‘power bank’ perlu disimpan bersama penumpang supaya pemanasan berlebihan, asap atau kebakaran dapat dikesan serta ditangani dengan segera.
Air Busan berkata, perubahan itu, yang turut merangkumi latihan kebakaran tambahan untuk anak kapal dan peralatan kawalan kebakaran di dalam pesawat, dibuat sebagai respons kepada peningkatan insiden bateri mudah alih yang terlalu panas.
Menurut syarikat penerbangan itu, kebakaran yang berlaku pada 28 Januari ketika pesawat sedang bersiap untuk berlepas ke Hong Kong, pertama kali dikesan oleh pramugari di ruang bagasi atas di bahagian belakang kiri pesawat.
Semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat.
Siasatan yang diketuai oleh pihak berkuasa Korea Selatan mengenai insiden kebakaran itu sudah dimulakan, tetapi punca kejadian masih belum dikenal pasti.
Menurut pakar, kemalangan udara hampir kebiasaannya berpunca daripada gabungan beberapa faktor.
Bateri litium ialah sejenis bateri boleh dicas semula yang terdapat dalam peranti seperti komputer riba, telefon bimbit, tablet, bank kuasa ganti dan rokok elektronik.– AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan